
Berangan Nak Jadi ‘Founder’? Ukur Baju Di Badan Sendiri Dulu
Dunia perniagaan di Malaysia dilihat semakin sihat dan meriah sejak hadirnya usahawan-usahawan pengasas produk atau ‘founder’.
Kehidupan mereka yang kaya raya dan penuh glamor menyebabkan ramai yang berangan-angan untuk turut mengikut jejak langkah mereka.
Murid sekolah juga kini telah mula pandai menyatakan hasrat mereka untuk mengejar cita-cita menjadi seorang ‘founder’ yang berjaya satu hari nanti.
Namun, menurut ikon bisnes yang juga seorang ‘founder’ – Azri Walter, dunia keusahawanan bukanlah semuanya indah dan mewah semata-mata.
Dalam hantaran di Facebooknya ini, dia turut menasihatkan orang ramai agar jangan terlalu tergesa-gesa untuk menjadi ‘founder’ hanya kerana ingin mengikut jejak langkah orang lain tanpa kemampuan yang cukup dan bekalan ilmu yang penuh di dada.
Pagi tadi saya minum kopi dengan seorang kenalan. Dia ni berniaga juga. Mula-mula dulu dia jadi ejen jual produk orang. Waktu tu memang dia make money. Kemudian, dia tengok orang buka kedai, dia pun buka juga.
Dia nak bina jenama juga, dia nak jadi emmm Pounderrrr. Cuma..
Dulu dia hepi je. Jual produk orang, ada sales, positive cash flow, kos overhead kurang, tak perlu bayar sewa. Bila dia buka kedai dia jadi stress. Buat produk sendiri pula tu. Mana nak pusing modal lagi. Nak bayar elektrik, internet, sewa kedai, gaji staf, kos marketing dan sebagainya.
Perkara seperti ini biasa berlaku dalam dunia keusahawanan. Biasalah tu, proses pembelajaran. Buat menyesal, tak buat pun menyesal ha ha ha.
Sebenarnya macam ni :
- Kalau margin keuntungan kecil, usahlah memandai-mandai nak buka kedai bagai. Rileks lah dulu. Maksimumkan apa yang ada. Guna je rumah dulu, penuhkan rumah anda dulu. Kalau dah penuh tak boleh tampung, rileks lagi. Buat kira-kira dulu, bertahan 3 4 bulan dulu tengok keadaan. Usah gopoh.
- Orang kita ni, kalau boleh semua nak jadi founder. Sebab nak rasa ‘ownership’. Jadi distributor pun ok. Boleh jadi owner syarikat distibutor. Silap haribulan lagi kaya. Kepala pun tak pening. Berniaga ni sebenarnya bukan untuk femes, kita nak untung. Kalau tak femes, tapi untung ok lah tu.
- Usahlah ikut orang. Kita pun tak tahu, entah orang lain tu meniaga guna duit pencen family dia. Mungkin dia anak bangsawan, mungkin dia dapat geran dari kerajaan. Kita ikut kemampuan diri kita dan buat apa yang kita hepi kan lebih bagus.
Bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri.
Apa pun berlaku ingat gais. Sekali tak jadi bukanlah bermaksud hidup anda sudah tamat. Rileks lah. Tukar kan tanggapan “aku gagal” kepada “aku sedang belajar”. Tak apa terciduk, bangkit dan buat semula, insyaAllah mesti strike nanti.
Kenapa saya suka berniaga? Sebab saya suka segala sepak terajang dunia bisnes. Dikala orang lain down ketika gagal, saya rasa stim setiap kali gagal. Best boleh belajar benda baru, mental jadi semakin kuat.
Inilah falsafah saya dalam dunia berniaga.
Buatlah apa yang anda suka. Pilih happy. InsyaAllah duit datang kemudian.
Kalau buat bisnes sampai tak boleh tidur malam, tak lalu nak makan, down memanjang kan seksa namanya tu?
Terlalu banyak kegembiraan di muka bumi ini, kenapa pilih untuk menangis?
Ok gerak dulu cari lauk.
BACA: Amalan Bisnes Oleh ‘Founder’ Melayu Dan Bezanya Dengan Kaum Lain
Sumber: Facebook Azri Walter
Trending now



