
Benarkah Wi-Fi Sebenarnya Boleh Merosakkan DNA Dan Menyebabkan Mutasi Kepada Manusia?
Meskipun teknologi Wi-Fi telah lama digunakan di seluruh dunia, masih lagi terdapat keraguan di kalangan orang ramai mengenai tahap keselamatan dan kesan sampingannya.
Pendedahan berterusan kepada Wi-Fi turut dikatakan berupaya menyebabkan radiasi yang boleh memberi kesan buruk atau mutasi terhadap manusia.
Namun, setakat manakah kebenaran dakwaan ini?
Bagi membantu orang ramai untuk mendapatkan kepastian, penulis dan ahli fizik terkemuka, Zamir Mohyedin telah membuat satu perkongsian ilmu di laman Facebooknya berikut mengenai perkara ini.
Betul ke Wi-Fi sebenarnya membahayakan? Jom kita baca apa kata para saintis.
Adakah Wi-Fi memberikan kerosakan kepada DNA?
Wi-Fi dipancarkan oleh sinaran elektromagnetik yang berada pada julat frekuensi radio (radiofrequency). Spektrum elektromagnetik dibahagikan kepada dua bahagian, satu bahagian dikelaskan sebagai sinaran tidak terion (non-ionising radiation), satu bahagian lagi dikelaskan sebagai sinaran terion (ionising radiation).
Frekuensi radio adalah sinaran yang tidak terion. Sinaran gamma, sinaran-x adalah contoh sinaran terion. Tidak dapat dinafikan lagi, sinaran terion adalah sinaran yang berbahaya dan boleh merosakkan DNA kerana tenaganya yang tinggi.
Sinaran tidak terion pula sebenarnya tidak berbahaya. Wi-Fi, pancaran telefon, siaran televisyen, siaran radio dan macam-macam lagi sebenarnya menggunakan sinaran berfrekeunsi radio. Kita pergi mana-mana pun, kita akan sentiasa terdedah dengan sinaran ini walaupun kita tutup data telefon.
Tetapi untuk berlaku adil, memang pendedahan sinaran ini secara berterusan menimbulkan kebimbangan pada sesetengah orang. Bukan orang awam saja, saintis pun ada. Jadi, kajian pun dibuat.
Kajian daripada tahun 2020 mensimpulkan, saintis tidak menemui dapatan konklusif bagi sebarang kerosakan DNA ataupun mutasi yang disebabkan oleh pendedahan sinaran elektromagnetik daripada teknologi telekomunikasi [1]
Kajian daripada tahun 2022 pula mendapati rangkaian Wi-Fi tidak memberikan kesan kepada kualiti sperma [2].
Jika dilihat pada Review Paper yang kumpulkan kajian-kajian dari tahun 1997 – 2022 tentang pendedahan sinaran radio kepada tubuh manusia, mereka menyimpulkan, “Numerous outcomes ranging from biological markers to symptoms were mostly found not to be associated with WiFi exposure. Sporadic findings were not consistent in terms of outcomes or exposure-response associations” [3].
Rujukan:
- Schuermann, David, Christina Ziemann, Zeinab Barekati, Myles Capstick, Antje Oertel, Frauke Focke, Manuel Murbach, Niels Kuster, Clemens Dasenbrock, and Primo Schär. “Assessment of genotoxicity in human cells exposed to modulated electromagnetic fields of wireless communication devices.” Genes 11, no. 4 (2020): 347.
- Chu, Kevin Y., Kajal Khodamoradi, Ruben Blachman-Braun, Alexandra Dullea, Joginder Bidhan, Katherine Campbell, John Zizzo et al. “Effect of Radiofrequency Electromagnetic Radiation Emitted by Modern Cellphones on Sperm Motility and Viability: An In Vitro Study.” European Urology Focus (2022).
- Dongus, Stefan, Hamed Jalilian, David Schürmann, and Martin Röösli. “Health effects of WiFi radiation: a review based on systematic quality evaluation.” Critical Reviews in Environmental Science and Technology 52, no. 19 (2022): 3547-3566.
BACA: Wi-Fi Puaka! Wang Simpanan Hampir RM1,000 Tiba-Tiba ‘Hilang’ Dari Akaun
Sumber: Zamir Mohyedin
Trending now



