
Belanda Buka Semula Kelab Malam, Kena Jaga Jarak Dan Tak Boleh Galak Berjoget Seperti Selalu
Belanda Buka Semula Kelab Malam
Semua sedia maklum, penularan COVID-19 di seluruh dunia menyebabkan segala kegiatan yang menjana ekonomi terpaksa ditutup.
Namun, sejak akhir-akhir ini banyak negara sudah melonggarkan sekatan pergerakan tetapi masih perlu mengamalkan penjarakan sosial demi menjana semula ekonomi yang kian merundum akibat wabak ini.
Meskipun begitu, aktiviti sosial dan hiburan masih tidak seratus-peratus dibuka semula kerana masih berisiko memandangkan ia melibatkan perhimpunan orang ramai.
Salah sebuah bandar di Belanda, Nijmegan membenarkan kelab malam beroperasi semula dengan pendekatan yang amat unik.
Kita tahu, kelab malam antara premis yang melibatkan kehadiran orang ramai bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial. Tetapi kelab malam di Belanda ini turut mengekalkan jarak satu meter bagi mereka yang memasuki premis hiburan itu.
Bagaimana caranya? Memetik laporan Today Online, mereka yang ingin memasuki kelab perlu membuat tempahan lebih awal kerana kemasukan terhad untuk satu masa. Apabila berada di dalam kelab, mereka disediakan kerusi untuk duduk dengan masing-masing berjarak satu meter – seperti duduk dalam dewan peperiksaan!
Cara mereka berhibur pula, hanya perlu menari sambil duduk sahaja untuk menikmati muzik yang dimainkan.

Pada awalnya, mereka mahu membiarkan pelanggan menari sambil berdiri cuma masih mengekalkan jarak, tetapi kerajaan Belanda menetapkan syarat untuk menyediakan kerusi kepada pelanggan.
Tambahan pula, mereka turut mengubah waktu beroperasi yang sebelum ini hanya pada lewat malam ditukar kepada siang hari.
“Berbesar hati untuk kuatkan muzik sekali lagi, melihat beberapa wajah yang tidak asing lagi,” kata DJ Davy Brandts.
“Saya rasa semua orang menantikannya, kerana sudah lama tidak minum bir di tempat besar seperti ini.”
Mungkin ini adalah cara yang terbaik untuk menghilangkan tekanan bagi mereka di samping dapat berhibur, tetap mengekalkan jarak antara satu sama lain.
People in the Netherlands can start clubbing again — as long as they stay seated 1.5 meters (approx 5 feet) away from each other pic.twitter.com/4izTPzSi53
— NowThis (@nowthisnews) June 10, 2020
Bagaimanapun di Malaysia, masih tidak membenarkan pembukaan operasi pusat hiburan buat masa ini. Salah sebuah pusat hiburan di Alor Setar diarah untuk menghentikan perniagaan serta-merta (lesen ditarik) akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sumber: Today Online
Trending now



