
Bekam Darah Untuk Keluarkan Semula Vaksin, Doktor Kongsi Kisah Lawak Pakcik Yang ‘Gedebe Koksey Kokdey’
Tidak dinafikan memang banyak berlaku kes kesan sampingan yang memudaratkan akibat dari suntikan vaksin yang dilaporkan kebelakangan ini.
Walaupun hanya segelintir dan melibatkan kes terpencil, wujud kebimbangan di kalangan masyarakat yang mula mempersoalkan keperluan untuk mengambil suntikan vaksin dan dos penggalak.
Ditambah pula dengan betapa mudahnya berita palsu dan ajaran salah disebarkan dengan berleluasa melalui media sosial ketika ini yang sengaja ingin menakut-nakutkan dan mengambil kesempatan terhadap isu ini.
Antara kisah dongeng yang mendapat perhatian ketika ini ialah penggunaan khidmat bekam darah untuk mengeluarkan semula vaksin yang telah disuntik ke dalam badan.
Ikuti perkongsian menarik oleh Syahr Musafir di Facebooknya mengenai pengalamannya bertemu dengan sekumpulan pakcik yang telah terpedaya dengan pembohongan ini.

“Aku pergi bekam…”
Singgah gerai nasi berlauk, terpaksalah beratur sebab gerai ni agak ramai pelanggan. Sambil menunggu giliran saya sengaja ‘pasang telinga’ perbualan 4 orang pakcik di meja sebelah selepas saya dengar pasal bekam.
“Aku pergi cucuk sebab nak bagi MySejahtera ni tulis sudah dicucuk vaksin. Lepas siap vaksin pagi tu, petang tu terus aku pergi tempat bekam darah. Bagus servis tempat yang aku pergi tu, dia terus buat. Habis keluar semua vaksin yang dicucuk tu…” jelas satu per satu saya dengar pakcik tu bercerita.
“Bagi nombor dia kepada aku, aku nak pergi bekam juga selepas kena paksa cucuk ni.. Susah tak cucuk…” jawab pakcik sebelah dia, sambil menyuap nasi ke mulut.
Kebetulan tiba giliran saya, saya order nasi kerabu sepertimana saya mahukan.
Tiba-tiba kakak yang berniaga nasi kerabu ini bersuara, “Doktor, betul ke kalau kita cucuk vaksin, kita boleh keluarkan vaksin guna cara bekam darah?”
Rupa-rupanya kakak ini pun dengar perbualan pakcik-pakcik tu. Pandai pula kakak ni tanya soalan ni ketika ni.
Saya jawab sebaik mungkin, “Berkaitan vaksin ni yang kita cucuk dekat bahu tu, prosedur umumnya kita panggil intramuscular injection. Maksud mudahnya, kita cucuk ke dalam otot. Bukan ke dalam darah atau salur darah. Jadi vaksin itu tak disuntik ke dalam darah. Mudah cerita, kalau kita berbekam banyak kali pun selepas suntikan, berbekam tu tak keluarkan vaksin la, kak….”
“Oh, macam tu rupanya..” jawab kakak ini.
“Dengar ke tak tu, pakcik-pakcik? Kita tak cucuk ke dalam darah pun…” kata kakak ini kepada pakcik-pakcik yang sedang makan dan berbual tadi, kali ini suaranya lebih kuat berbanding tadi.
“Habis tu anak aku cakap, masa nak cucuk tu misi (jururawat) tarik angin lepas tu cucuk angin supaya tolak darah barulah cucuk masukkan vaksin tu apa? Takkanlah anak aku tipu aku?”, nada tingginya dengan suara yang garau, macam pakcik ini nak bergaduh dengan saya pula. Cakap ‘aku’ dengan saya yang muda ni, macam marahlah. Allahu… Takut juga saya kalau berlaku drama bergaduh pula di sini.
“Biasa tu, kalau nak cucuk, petugas perubatan atau kesihatan akan tarik sikit sebab nak pastikan tiada darah. Kena pastikan cucuk bukan tempat darah atau salur darah. Jika tarik ada nampak darah maksudnya kena salur darah, kita tak boleh teruskan suntikan di situ. Jika tarik dan tak ada darah bermaksud suntikan bukan kena pada salur darah tetapi kena pada otot, barulah boleh teruskan suntikan… Prosedur biasa tu. Mungkin anak pakcik tak tahu tu…” jelas saya, sekadar apa saya tahu.
“Kalau nak cucuk tikus secara intramuscular injection pun saya buat macam tu.. Inikan pula apabila nak cucuk manusia, kena pastikan betul-betul… Yang pasti cara tu bukan masukkan angin nak tolak darah atau apa..” sambung saya lagi, ringkas.
Segala perbualan ini dalam dialek Kelantan ye, saya modified ni supaya mudah faham.
“Mu ni nippu aku (kau ni tipu aku)!” respon kawannya yang minta nombor telefon tempat berbekam tadi.
Saya ambil bungkusan nasi yang saya pesan, buat bayaran, ucapkan terima kasih kepada kakak itu dan berlalu pergi. Saya memang tak reti kalau berhadapan suasana sebegini, rasa seram-sejuk. Manusia introvert kan… Kalau mereka nak bergaduh, biarlah mereka saja bergaduh. Saya hanya menyampaikan sedikit ilmu yang saya tahu saja, tak tahu banyak tetapi sedikit yang ada ini tak rugi pun untuk dikongsi.
“Mu ni napok gedebe. Gedebe sungguh tapi gak gedebe koksey kokdey!” tiba-tiba kawan pakcik tadi yang senyap dari awal tadi bersuara kepada ‘pakcik bekam’, lalu bingkas bangun yang saya rasa pakcik tu pergi ke kaunter nak buat bayaran.
Sebenarnya kalau anda tak nak vaksin, atau apa saja, semuanya terpulang saya takkan pernah paksa pun. Nak pergi berbekam selepas vaksin pun silakanlah, saya tak nak ikut campur pun. It is your right.
Cumanya janganlah mereka-reka cerita….
Kalau cucuk nak ambil darah atau nak masukkan branula (yang biasa kita nampak pesakit disambung drip tu), betullah kena cucuk salur darah kita semua tahu doktor cari salur darah barulah cucuk. Tetapi suntikan vaksin secara intramuscular injection, mana ada misi atau doktor cari salur darah sebelum nak cucuk di bahu tu. Kan terus cucuk je.
Siap dengan cerita tarik angin nak suruh angin tolak darah supaya boleh masukkan vaksin lagi, adoyaiiiii 😅😅😅
Gambar nasi kerabu pagi ini, saya beli je. Tak memasak dan tiba-tiba rasa nak makan nasi beli pagi ni. Hehehe. Rupa-rupanya Allah nak bagi peluang ‘bertemu’ pakcik-pakcik ni pagi ni. Alhamdulillah ala kulli hal. Nasi kerabu ayam bakar ni RM4.50 sebungkus.
#KisahMasyarakat FB Syahr Musafir Rabu 16/02/2022
BACA: Didakwa Vaksin Yang Disuntik Dalam Badan Akan Luput, Doktor Jelaskan Maksud Sebenar ‘Tarikh Luput’
Sumber: Syahr Musafir
Trending now



