
Beg Tangan Mewah Rosmah Terkait Dengan Skandal 1MDB Rosak Akibat Kecuaian Pihak Berkuasa
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa beg tangan berjenama bernilai jutaan ringgit yang disita oleh polis kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) rosak akibat kecuaian semasa mengendalikan barang-barang berkenaan.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata mereka mendapat tahu mengenai keadaan beg tangan itu semasa memeriksa barang-barang berkenaan yang disimpan dalam peti simpanan di Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam hujahnya, sebelum ini ketika mendapat kebenaran melakukan pemeriksaan secara fizikal, pihaknya cukup kecewa dengan cara barang-barang sitaan bernilai jutaan ringgit dikendalikan.
Dakwa Shafee, kebanyakan beg berjenama dan mempunyai nilai tinggi hampir musnah dan tidak dijaga dengan baik walaupun secara terang-terangan pihak berwajib mendedahkan nilainya mencecah beratus ribu.
Pemeriksaan juga dibuat oleh Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka Nooryana Najwa pada 22 Feb lalu dalam satu lagi permohonan pemeriksaan di hadapan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi.
“Tiap satu beg tangan yang dikatakan mahal itu langsung tidak dipedulikan, ia dimusnahkan oleh polis kerana mereka menulis terus di atas beg-beg berkenaan dengan pen marker, dan bukannya di atas kertas.
“Beg-beg ini bernilai jutaan ringgit dan begitu cara mereka mengendalikannya,” katanya di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Beliau juga berkata anak guamnya tiada bersama semasa barang itu disita, sebaliknya pengurus bangunan (tempat barang-barang itu disimpan), yang dipanggil untuk berada di sana.
“Dokumentasi eksibit (barang yang disita) juga tidak dibuat dengan teratur… dengan itu permohonan kami untuk membuat pemeriksaan adalah memang amat patut, untuk melihat sendiri eksibit itu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata pihak pendakwaan membantah permohonan Najib untuk memeriksa barang-barang itu atas alasan keselamatan kerana barang yang disita itu bernilai lebih RM680 juta (S$221 juta).
Beliau mengatakan bahawa ia merupakan dakwaan serius untuk mengatakan bahawa barang-barang itu musnah kerana barang-barang itu disimpan dalam peti besi BNM yang hanya boleh diakses oleh pihak yang yang diberi kuasa sahaja.
Hakim Muhammad Jamil kemudiannya membenarkan permohonan Encik Najib selepas memutuskan bahawa diabeliau mempunyai hak untuk memeriksa barang-barang berkenaan bagi membolehkannya menyediakan pembelaan dalam permohonan lucut hak.
Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta aset yang disita dari premis yang dimiliki oleh Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1MDB mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.
Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, ia menyatakan bahawa antara aset itu adalah 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 barang hiasan jam tangan 234 pasang kaca mata, 306 beg tangan, dan wang tunai bernilai RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.
Sebahagian besar daripada barang mewah yang disita oleh polis dilaporkan daripada apartmen yang dimiliki Obyu Holdings.
Sumber: Bernama
Trending now



