
Beg Mewah RM6,500 Pelanggan Lesap Dibawa Lari Pemandu Kurier, Butik Kecewa Dengan Respon Syarikat
Sebuah butik dalam talian Vintage Sac MY meluahkan kekecewaan apabila rugi sebanyak RM6,500 gara-gara barangan tempahan pelanggannya didakwa ‘lesap’ dibawa lari oleh pemandu syarikat kurier.
Menerusi hantaran tular yang dimuat naik di Facebook, butik berkenaan memaklumkan bahawa telah mengantar sebuah beg jenama mewah iaitu Louis Vuiton Locky Bb Parcel in Blue Jean melalui perkhidmatan kurier Lalamove.
“Kami adalah pelanggan setia Lalamove yang menyokong mereka sejak hari pertama perniagaan kami. Bagaimanapun, insiden baru-baru ini telah membuktikan kami salah, dan kami mengalami kerugian RM6500 kerana mempercayai Lalamove,” katanya.
Difahamkan kejadian terbabit berlaku pada 26 Mac 2022. Seperti kebiasaan, pemandu kurier akan datang mengambil barang yang perlu dihantar kepada pelanggan.
Namun, barangan yang diamanahkan itu tidak diterima pelanggan dan didapati pemandu kurier terbabit telah menghilangkan diri.
Sebagai peniaga yang beretika, pihak butik telah membuat aduan rasmi kepada pihak Lalamove mengenai kejadian tersebut. Dalam pada itu, mereka juga dengan rela hati membayar ganti rugi sepenuhnya kepada pelanggan.
Bagaimanapun, emel balas yang diterima membuatkan mereka berasa terpedaya dengan sikap syarikat kurier tersebut selepas diberi pengharapan untuk menyelesaikan kes itu.
“Selepas 3 hari dan banyak susulan daripada kami, Lalamove akhirnya menghantar e-mel kepada kami. Walau bagaimanapun, e-mel mereka tidak masuk akal.
“Kami terkejut dengan jawapan mereka, terutamanya menyebut tentang perlindungan insurans. Kami menyemak semula aplikasi Lalamove dengan teliti dan tidak menemui sebarang pilihan untuk membeli perlindungan insurans,” katanya.
Pihak butik hanya mendapat pampasan barangan hilang bernilai RM400 iaitu 10 peratus sahaja daripada jumlah asal dan mereka juga didakwa tidak membeli perlindungan insurans untuk menggunakan perkhidmatan Lalamove.
Berikutan itu, pihak Vintage Sac MY telah membuat laporan polis mengenai kejadian terbabit dan menasihatkan agar peniaga di luar sana lebih berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan kurier tersebut selain meneliti terlebih dahulu ‘Terms & Condition’ yang disertakan di laman web mereka.
Trending now



