Batu Karang

Batu Karang – Bagaimana Penyakit Ini Berlaku Dan Kenapa Kaum Lelaki Yang Selalu Kena

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kajian menunjukkan penyakit batu karang sering kali berlaku di kalangan kaum lelaki berbanding wanita.

Ada kalanya penyakit batu karang juga tidak boleh dikesan walaupun dengan menggunakan imbasan x-ray.

Suntikan untuk menahan sakit pula hanyalah bersifat sementara dan kesakitan tersebut akan berulang selagi batu karang itu tidak dikeluarkan secara normal atau pun melalui pembedahan.

Benarkah faktor pemakanan adalah punca utama penyakit batu karang ini berlaku? Apa pula kaitannya dengan kaum lelaki?

Bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut, jom ikuti hantaran yang dibuat oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad di laman Facebooknya ini:

1 Batu Karang

MAKANAN AGEN BATU KARANG

Menikmati makanan enak sudah sebati dalam budaya masyarakat kita. Mana tidaknya, perkara yang sering bermain di fikiran ialah apakah hidangan lazat yang ingin kita nikmati hari ini dan bukannya makanan sihat yang harus diambil untuk mengekalkan tahap kesihatan tubuh.

Budaya ini menyebabkan ramai dalam kalangan kita sakit, bukan disebabkan tidak cukup makan sebaliknya kerana terlebih makan. Tahap kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat masih kurang terutama dalam kalangan golongan muda yang lebih mengutamakan kepuasan diri semata-mata.

Jika ada kesedaran sekalipun, kadang kala ia diketepikan demi memenuhi tuntutan nafsu makan biarpun tahu makanan berkenaan boleh memudaratkan badan apabila semakin meningkat usia. Tidak ramai yang sedar, makanan boleh mengundang penyakit jika diambil secara berlebihan.

BENTUK STRUKTUR SEPERTI KRISTAL

Banyak makanan boleh menjadi punca batu karang iaitu struktur keras menyerupai kristal yang terbentuk daripada bahan mineral di bahagian antara ginjal hingga ke saluran kencing akibat masalah kekurangan air dalam tubuh badan manusia.

Buah pinggang berperanan sebagai alat penapisan bahan toksik, yang mana mineral dan garam asid dalam air kencing boleh termendap di dalam organ berkenaan. Apabila tubuh seseorang kekurangan air, bahan ini boleh membentuk kristal dan seterusnya menjadi batu karang.

Biasanya, batu karang terbentuk di ginjal, tetapi kadang kala ia boleh beralih atau jatuh dan tersangkut di dalam saluran buah pinggang (ureter). Ini akan menyebabkan buah pinggang tersumbat dan rosak.

Batu karang juga adalah unsur kuman yang boleh menyebabkan masalah kencing kotor, pendarahan dan pendarahan dalam kencing, malah jika dibiarkan boleh mengakibatkan maut.

Meskipun tidak banyak kes kronik yang menyebabkan kematian, penyakit ini jika dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang lama boleh menyumbang kepada penyakit kritikal lain seperti kanser prostat sekali gus meningkatkan risiko kes kematian.

LEBIH RAMAI PESAKIT LELAKI

Masalah batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita kerana beberapa faktor, terutamanya gaya hidup tidak sihat yang menyumbang kepada masalah ini.

Fakta itu dibuktikan menerusi kajian global yang melaporkan tiga orang lelaki bagi setiap seorang wanita mempunyai masalah batu karang disebabkan gaya hidup.

Lelaki boleh dikatakan kurang mengambil air kosong seperti yang disarankan setiap hari sekali gus menyebabkan berlaku dehidrasi. Selain itu, gaya hidup lelaki yang membuatkan mereka lebih senang mengalami kegemukan dan juga gaya pemakanan yang tidak seimbang menjadi punca mereka mendapat batu karang.

Selain itu, saluran air kencing lelaki yang kompleks berbanding wanita juga dikatakan antara punca kecenderungan itu, namun risiko berkenaan boleh dikurangkan jika mereka mengubah gaya hidup.

Apa yang penting, tidak kira lelaki atau perempuan, kedua-duanya perlu mengubah gaya hidup mereka ke arah yang lebih sihat.

KENCING BERNANAH

Biasanya seseorang rasa sakit disebabkan batu karang besar yang menyebabkan buah pinggang atau saluran buah pinggang tersumbat. Air kencing bertukar menjadi nanah apabila berkumpul dengan lama dalam buah pinggang yang tersumbat.

Jika seseorang itu mengalami kencing berdarah, air kencing kotor, sakit di kawasan pundi kencing, wujud butiran pasir di dalam air kencing dan demam serta badan menggigil, kebarangkalian individu ini menghidap penyakit ini adalah tinggi.

Jika ada gejala ini, jumpa doktor dengan segera untuk menjalani ujian darah dan air kencing, sinaran X, ultrasound dan imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Bagi pesakit yang mempunyai saiz batu karang kecil, mereka perlu minum air dengan banyak selain perlu mengambil ubat tahan sakit dan ubat untuk menghancurkan batu karang yang kemudiannya akan keluar bersama air kencing.

Ada juga ubat membantu mengeluarkan batu karang dalam saluran buah pinggang dengan lebih cepat. Ubat sebegini melonggarkan saluran ureter dan menyebabkan batu karang jatuh ke pundi kencing, seterusnya keluar bersama air kencing.

JENIS BATU KARANG

  • Kalsium
  • Asid urik
  • Struvite (batu magnesium ammonium fosfat)
  • Cystine

FAKTOR RISIKO

  1. 10% daripada pesakit mempunyai sejarah keluarga yang juga menghidap penyakit batu karang
  2. Kerap berlaku di negara bercuaca panas
  3. Gaya hidup yang kurang aktif
  4. Dehidrasi (minum air kurang 1,200 mililiter sehari)
  5. Pemakanan tinggi protein haiwan, tinggi sodium/garam, dos vitamin C dan D yang tinggi
  6. Jangkitan kuman saluran kencing yang berulang. Bakteria yang menghasilkan urease (enzim yang memangkinkan hidrolisis urea kepada amonia dan karbon diaoksida) membuatkan seseorang cenderung kepada pembentukan batu karang
  7. Ketidakseimbangan tahap kalsium dalam badan boleh menyebabkan pembentukan batu karang
  8. Lebihan asid urik pada tahap tinggi boleh menyebabkan batu karang

GEJALA

  1. Kencing berdarah
  2. Sakit belakang/kawasan pundi kencing
  3. Wujud butiran pasir di dalam air kencing
  4. Jangkitan saluran kencing (batu karang ialah punca jangkitan)
  5. Demam dan badan menggigil
  6. Kencing kotor

RAWATAN

  1. Extracorporeal Kejutan Gelombang Lithotripsy (ESWL)
  2. Nefrolitotomi Perkutaneus (PCNL)
  3. Litotripsi Ureteroskopi (URS)
  4. Vesikolitotripsi

PENCEGAHAN

  1. Banyakkan minum air
  2. Kurangkan makanan yang boleh menyebabkan pembentukan batu karang
  3. Protein haiwan tidak patut dimakan secara berlebihan kerana protein ini meningkatkan risiko pembentukan batu karang. Jumlah maksimum protein haiwan yang disyorkan untuk pemakanan adalah kira-kira 150g sehari

MAKANAN YANG MENGGALAKKAN PEMBENTUKAN BATU KARANG

  1. Kacang tanah, walnut, gajus, kacang dal
  2. Ikan bilis, ikan sardin
  3. Bayam, cendawan
  4. Organ dalaman haiwan, daging merah
  5. Makanan laut seperti kerang, ketam dan udang
  6. Kentang, keledek
  7. Teh, coklat, soya

Kredit: Berita Harian

#HealthDrZubaidi
www.drzubaidi.com

Ikuti perkongsian pengalaman dan pengetahuan sepanjang lebih 25 tahun menjadi doktor Pengamal Perubatan Am di Telegram berkaitan kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan.

https://t.me/PerkongsianDrZubaidiHjAhmad

BACA: Risiko Mandul – Doktor Nasihatkan Kaum Lelaki Jangan Letak ‘Handphone’ Dalam Poket Seluar!

Sumber: Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad