
Batik Malaysia Mahal Punca Rakyat Lebih Tertarik Dengan Batik Indonesia
Menjadi perdebatan hangat di laman sosial Twitter baru-baru ini mengenai industri batik tempatan yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia.
Isu ini timbul apabila seoarang pengguna Twitter memuat naik laporan akhbar berhubung isu batik tempatan yang disifatkan berdepan ancaman gara-gara anak uda lebih tertarik untuk membeli produk di negara jiran.
Sebagai reaksi, netizen menyenaraikan beberapa faktor seperti harga, rekaan dan material yang membuatkan golongan muda lebih tertarik dengan batik Indonesia yang jauh lebih murah.
Malah, warga Indonesia sendiri terkejut dengan harga batik Malaysia yang katanya mampu membeli lebih banyak kain batik di sana.
Tambahan pula, lihat bagaimana cara negara jiran mengkomersialkan batik mereka sehingga disukai rakyat di sini. Kita sama sekali jauh berbeza dengan Indonesia yang mana rakyatnya sangat berbangga memakai baju batik mereka sehingga sekurang-kurangnya wajib seminggu sekali untuk dipakai.
Bagi pereka fesyen tempatan, Hatta Dolmat mempunyai pandangannya sendiri yang mana untuk menawan hati dan jiwa generasi muda negara ini tidaklah sesukar mana kerana mereka cuma cenderung mengikut aliran terkini terutama jika sesuatu produk itu dapat dibeli pada harga murah.
“Kalau nak batik kita dipandang cantik oleh budak-budak muda, kita kena pakai motif segar yang kena dengan jiwa mereka.
“Rakyat ni senang saja – benda murah, cantik dan mengikut aliran terkini, depa (mereka) ikut pakai,” ciapnya di Twitter.
Menurutnya, dari sudut pemasaran, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan batik tempatan mampu mencapai tahap berbeza berbanding dulu dengan memastikan kerja-kerja mempromosi dilakukan secara berterusan.
“Jalankan kempen baru yang berterusan seperti mereka di sana (Indonesia) yang tak henti-henti mengangkat batik.”
Selain itu, material batik tidak perlulah semata-mata satin atau sutera kerana tidak sesuai untuk dijadikan pakaian harian selain di majlis formal. Berbanding Indonesia, mereka lebih maju dari sudut pemilihan reka corak komersial, warna dan material.
Bagaimanapun, Hatta tidak menolak kemungkinan bahawa antara punca lain batik Indonesia lebih memenangi jiwa anak muda adalah kerana mereka kurang arif soal asal-usul produk tersebut.
“Ada yang tak tahu pun itu batik Indonesia,” katanya.
Justeru Hatta menyeru agar pengusaha batik agar berganding bahu menjalin kolaborasi dengannya.
Benar juga kata beliau, tidak boleh meletakkan seratus peratus kesalahan kepada rakyat yang lebih memilih batik Indonesia tetapi kerajaan dan pengusaha tempatan sendiri perlu mengubah corak permainan untuk melangkah lebih kehadapan.
Sumber: Malaysia Kini, Twitter
BACA: Hanya Di Malaysia Dan Indonesia? Tiga Negara Ini Juga Memiliki Seni Batik Tersendiri