
Basyirah – Lagu Baharu Siti Nurhaliza Dedikasi Buat Barisan Hadapan
Penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan buah tangan terbaharunya berjudul Basyirah yang dilancarkan sejak tengah malam tadi.
Menariknya tentang single baharu ini, Basyirah adalah ciptaan pengacara dan penulis lirik terkenal, Ahamd Fedtri Yahya dan komposernya Hafiz Hamidun, membuatkan lagu ini begitu puitis dengan bermelodikan Timur Tengah.
Basyirah terkandung pelbagai makna tersirat
Menurut penulis lirik lagu yang begitu puitis ini, Basyirah ialah yang membawa khabar gembira, berasal daripada perkataan busyra.
“Saat satu dunia dilanda hiba dan pudar semangat pada segala ujian yang tak berpenghujung, satu kekuatan yang kita ada ialah menjadi penyerbar motivasi dan pendoa setia.
“Ditulis khas untuk biduanita ini. Dirombak kata beberapa kali supaya menjadi sebati dan selari dengan vokal gemilangnya.
“Sebenarnya rintihan dalam lirik ini bukan semata-mata kerana ledakan luka COVID-19, malah jika diselami ada makna yang tersirat…,” tulisnya di Twitter.
Basyirah ialah wanita yang membawa khabar gembira. Berasal daripada perkataan busyra ( khabar gembira). Saat satu dunia dilanda hiba dan pudar semangat pada segala ujian yang tak berpenghujung, satu kekuatan yang kita ada ialah menjadi penyerbar motivasi dan pendoa setia pic.twitter.com/rod0usIHXU
— Fedtri Yahya🇲🇾 (@fedtriyahya) May 8, 2020
Memetik laporan Harian Metro, Fedtri mendedahkan bahawa Basyirah merupakan satu-satunya karya lirik yang berjaya meruntunkan hatinya sehingga mengalirkan air mata.
Katanya, lagu ini pada awalnya merupakan sebuah lagu cinta tetapi apabila komposer Hafiz Hamidun menghantar melodinya, beliau merasakan kesyahduan dan sedih dalam jiwa lagu tersebut.
“Apatah lagi, kini kita semua dalam negara sedang diuji dengan pandemik COVID-19. Saya akhirnya menukar beberapa kali lirik ini daripada kisah cinta kepada isu yang berlaku di seluruh dunia.
“Jadi, saya terbayang perjuangan semua orang terutama petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menggadaikan nyawa,” katanya.
Menurut Fedtri, lagu itu juga bertujuan menghargai petugas barisan hadapan dan unsur metafora serta puisi diguna pakai supaya bersesuaian dengan Ramadan yang mana mungkin mereka akan berhadapan kesukaran, tetapi InshaaAllah akan berjaya.
Bagi penyanyi lagu ini, Basyirah bukanlah hanya sebuah lagu untuk hiburan tetapi ia sebuah lagu yang perlu makna dan rasanya sampai kepada para pendengar.
“Tidak hanya sebuah lagu untuk hiburan tetapi saya melagukan supaya maknanya sampai, rasanya sampai dan setulus dedikasi untuk semua ‘KITA’ yang menjadi ‘barisan hadapan’,” katanya.
Difahamkan, Basyirah kini berada di tangga teratas dalam carta platform i-Tunes, kurang 24 jam sejak dimuatnaik pada tengah malam Khamis.