MyHELP@KKM Buli

Baru 4 Hari Dilancarkan, Sistem MyHELP@KKM Sudah Terima 6 Aduan Kes Buli

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 6 aduan kes buli melibatkan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) telah diterima setakat ini menerusi sistem aduan MyHELP@KKM yang mula beroperasi pada 1 Oktober lalu.

MyHELP@KKM merupakan satu sistem pelaporan aduan berkenaan buli di tempat kerja khusus untuk warga kerja KKM.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) pada 17 Ogos yang lalu mengesahkan terdapat isu buli dan kelesuan serta budaya kerja kurang sihat di KKM.

Pada 22 September yang lalu pula, Khairy memaklumkan HWCITF mengesyorkan penggunaan sistem aduan tersebut yang kini sudah boleh diakses sejak beberapa hari yang lepas.

MyHELP@KKM berfungsi bagi memudahkan pegawai membuat aduan kes buli secara langsung dan tindakan susulan dapat diambil segera menerusi tatacara yang telus serta menjaga kerahsiaan pelapor.

Menurut Khairy, setiap aduan kes buli yang diterima melalui sistem itu akan melalui proses siasatan yang telus dan berintegriti oleh Unit Integriti KKM.

“Walaupun hanya empat hari dibuka, sistem ini telah terima enam aduan dan ini menunjukkan ada yang berani guna sistem ini. Tidak perlu takut kerana setiap identiti akan dirahsiakan dan siasatan mendalam akan dilakukan,” jelas Khairy lagi.

MyHELP@KKM Buli

BACA: Gangguan Seksual Antara Doktor, Bukti Sistem Keselamatan Pekerjaan Kurang Efektif?

Sumber: FMT