
Barangan Runcit Golongan B40 Mungkin Cecah Sehingga RM600 Sebulan
Nampaknya, isu kenaikan harga barang terus membelenggu kita semua. Bukan sekadar bahan mentah, tapi semua sektor dilihat sudah mula menaikkan harga.
Ramai yang mendakwa isu kenaikan harga semakin meruncing dan ada laporan mengatakan harga barang keperluan dijangka naik sehingga 60 peratus.
Laporan daripada beberapa peniaga mendakwa harga barangan runcit mengalami kenaikan yang melibatkan produk keperluan harian.
Mengikut situasi ini, perbelanjaan runcit di negara kini dijangka mampu mencapai sehingga RM600 sebulan.
Memetik sumber The Malaysian Reserve, perbelanjaan runcit ini adalah mengikut perkiraan bagi kalangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana (B40).
Ia menerusi tinjauan Hargapedia di mana kos paling rendah yang dikira adalah pengguna akan berbelanja sekurang-kurangnya RM400 sebulan untuk barangan runcit, itu pun nilainya masih tinggi untuk B40.
Malahan purata perbelanjaan tersebut hanya melibatkan pembelian keperluan sahaja, tidak termasuk kos perbelanjaan luar.
“Apabila kita bercakap tentang perbelanjaan, purata kos runcit sebulan menjadi RM600. Ini tidak termasuk kos makan di luar.
“Kos paling rendah walaupun anda berjimat mungkin kira-kira RM400,” kata CEO Hargapedia, CK Soon.
Menurutnya, produk seperti minyak masak mengalami kenaikan harga tertinggi iaitu hampir 100% ketika ini berbanding sebelum pandemik.
Selain barangan runcit tempatan, kenaikan kos juga boleh berlaku pada produk yang diimport – peningkatan harga ini adalah diluar kawalan pentadbiran negara. Justeru, pengguna terpaksa memikul beban kenaikan harga tersebut.
Kata Soon, terdapat dua trend yang akan berterusan di Malaysia sehingga harga minyak stabil.
Pertama adalah inflasi, yang berlaku bukan sahaja di Malaysia dan satu lagi adalah “shrinkflation”. Ia bermaksud syarikat mengurangkan saiz produknya disebabkan peningkatan kos.
Sumber: The Malaysian Reserve