Bapa Persoal Larangan Pelajar Guna Beg Komputer Riba Ke Sekolah

Bapa Persoal Larangan Beg Komputer Riba Ke Sekolah

Sekolah merupakan tempat untuk pelajar menimba ilmu dan guru yang mengajar dianggap sebagai ibu bapa kedua. Setiap institusi pastinya ada beberapa peraturan yang perlu diikuti berdasarkan persetujuan bersama sekolah.

Bagaimanapun, seorang bapa mempertikaikan kewajaran satu larangan ini di sebuah sekolah yang mana beberapa jenis beg dilarang penggunaannya untuk pelajar sekolah.

Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Zaki Ab Latif berkata, arahan seorang guru disiplin ketika perhimpunan sekolah pada 3 Januari lalu itu membebankan ibu bapa untuk membeli beg baru terutama yang memiliki anak ramai.

Guru disiplin itu memberi arahan bahawa beg komputer riba dan beg jenama barang elektrik dilarang digunakan di sebuah sekolah di Kajang.

“Apakah kewajarannya guru disiplin mengeluarkan arahan sedemikian? Adakah kerana beg sandang ‘laptop’ ini menjejaskan keselamatan sekolah atau mengancam nyawa guru disiplin sekolah ini?” luahnya pada sepucuk surat yang tular di aplikasi WhatsApp.

Difahamkan, compartment jenis beg begini memberi sedikit kesukaran kepada guru untuk melakukan pemeriksaan mengejut bagi tujuan keselamatan. Namun bapa berkenaan berkata sekiranya pemeriksaan itu diperlukan, maka lakukanlah tapi jangan menyusahkan mereka sebagai ibu bapa untuk membeli beg baharu.

Intipati surat itu turut menjelaskan beg komputer riba, beg jenama barang elektrik itu diperolehi secara percuma apabila ibu bapa membeli barangan elektrik atau komputer riba selain ia berkualiti.

Bapa Persoal Larangan Beg Komputer Riba Ke Sekolah
Sumber: Sinar Harian

Katanya lagi, beg jenis ini memiliki kualiti lebih baik daripada beg sekolah biasa dan boleh bertahan sehingga lima tahun jika dijaga dengan baik sekali gus menjimatkan perbelanjaan keluarga.

“Di manakah logik akalnya guru disiplin menghalang para pelajar sekolah menggunakan beg pack laptop atau beg sandang jenama elektrik yang percuma ini,” katanya.

Beliau turut memberi saranan jika ingin mengimplementasikan perkara itu, boleh pertimbangkan untuk memberi beg secara percuma kepada semua pelajar di sekolah itu memandangkan gaji guru berkenaan besar.

Mohd Zaki turut berharap Kementerian Pendidikan memandang serius perkara tersebut dan turun padang mendengar keluhan ibu bapa. Beliau menyatakan larangan itu juga boleh membuatkan pelajar takut untuk ke sekolah gara-gara menggunakan beg berkenaan.

Sumber: Sinar Harian