
Banyak Yang Hanya Merosakkan Minda, Program TV Tempatan Sekarang Dah Tak Macam Dulu-Dulu
Capaian internet yang semakin mudah dan pantas pada hari ini sedikit sebanyak mempengaruhi rancangan yang disiarkan di TV.
Dengan hanya menggunakan peranti yang boleh dimasukkan ke dalam poket, orang ramai bebas untuk menonton rancangan TV kegemaran mereka di mana-mana sahaja.
Ditambah pula dengan adanya YouTube, Netflix, Viu dan sebagainya, rancangan TV turut berubah dengan peredaran masa.
Berbanding dengan era 90-an dan awal 2000, stesen TV kini juga dilihat kurang menghasilkan rancangan berkualiti yang dapat membentuk minda dan intelektual masyarakat.
Turut ditelan zaman ialah rancangan berbentuk gameshow yang kini seolah-olah telah digantikan pula dengan siri realiti yang kurang mencabar minda.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Faizal Zulkifly telah membuat satu hantaran mengenai hal ini dan menegur stesen TV pada hari ini yang lebih banyak menyajikan program sampah dan merosakkan minda.
Mereka yang membesar dalam era yang sama mesti bersetuju dan turut boleh ‘relate’ dengan apa yang cuba beliau sampaikan ini.
STESEN TV PEROSAK MINDA RAKYAT MALAYSIA!
Saya adalah generasi millenial. Generasi millenial (Gen-Y) ini adalah generasi yang dilahir dan dibesarkan antara tahun 1980-an hingga 2000.
Di zaman saya membesar, media sosial belum berkembang. Media sosial yang ada pun hanya sekadar untuk kegunaan perhubungan asas seperti ‘chatting’ sahaja. Jadi media elektronik (TV, radio) dan media cetak (surat khabar, majalah dan lain-lain) adalah pengaruh utama dalam membentuk pemikiran Gen-Y seperti saya.
Zaman sekarang, media sosial jadi sumber utama generasi terkini (Gen-Z dan Gen-Alpha). Mereka lebih terpengaruh dan pemikiran mereka terbentuk dengan apa yang mereka lihat di media sosial. Walaupun golongan Gen-Y sekarang seperti saya sendiri lebih banyak melayari media sosial berbanding media konvensional, tetapi pemikiran Gen-Y kurang terpengaruh dengan media sosial kerana pemikiran Gen-Y telah terbentuk lebih awal.
Di zaman saya membesar, saya banyak menghabiskan masa lapang dengan menonton TV bersama keluarga saya. Antara rancangan yang paling digemari ialah ‘Gameshow’. Pada tahun-tahun 1990-an, cukup banyak gameshow yang bagus untuk membentuk intelektual masyarakat di samping memberi hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga.
Antara gameshow kegemaran keluarga saya yang saya masih ingat ialah Kuiz Perdana Ria, Roda Impian, Who Wants To Be A Millionaire, Joe Jambul, Kosa Kata, Famili Ceria dan banyak lagi. Kebanyakan gameshow ini banyak berkisar tentang pengetahuan am, Sains, Matematik, Geografi, Sejarah, Bahasa dan lain-lain. Walaupun ada juga gameshow yang bersifat hiburan semata-mata seperti Pop Kuiz, Telebriti dan lain-lain, tapi gameshow bersifat intelektual ini tak tenggelam dengannya.
Saya akui, kebanyakan gameshow inilah yang banyak membentuk pemikiran generasi seperti saya dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Stesen TV pada ketika itu sentiasa datang dengan idea mendidik minda masyarakat sambil berhibur. Mereka sentiasa mencari kandungan-kandungan yang boleh membentuk intelektual masyarakat.
Sejujurnya, saya sudah tak menonton rancangan TV tempatan sejak lebih 10 tahun. Bukan kerana saya lebih suka rancangan dari luar negara, tapi saya rasa program-program stesen TV tempatan kurang berkualiti dan kurang bersifat intelektual. Antara yang saya masih tonton pun ialah Majalah 3, Selamat Pagi Malaysia, Malaysia Hari Ini dan warta berita. Itu pun semua rancangan itu sudah wujud puluhan tahun yang lepas.
Program-program TV tempatan baru sejak 10-15 tahun lepas, banyak berkisar tentang hiburan semata-mata. Sangat kurang (atau mungkin tidak ada?), program-program gameshow yang membina intelektual seperti tahun-tahun 1990-an. Semuanya berkisar tentang hiburan, hal ehwal selebriti dan benda remeh temeh yang tak menambah ilmu pengetahuan.
Akhirnya, stesen TV jadi kurang berkualiti dan gagal memain peranan membentuk intelektual masyarakat. Sepatutnya, stesen TV menjadi pendahulu ke arah menjadikan masyarakat lebih cakna terhadap ilmu pengetahuan, sebaliknya menyajikan program sampah yang merosakkan minda masyarakat.
Anehnya, sudahlah generasi sekarang lebih terpengaruh dengan media sosial yang lebih banyak kandungan yang merosakkan minda masyarakat, stesen TV pula dengan tanpa segan silu mengangkat kandungan itu ke pentas awam dalam program-program utama mereka seperti yang terjadi semalam pada sebuah stesen TV bersifat ‘Islamik’.
Entahlah. Apa lagi nak dikata.
Kecewa.
Mohd Faizal Zulkifly
BACA: Kenapa Konten ‘Sampah’ Dan Mengarut Sering Mendapat Perhatian?
Sumber & kredit foto: Facebook Mohd Faizal Zulkifly