Papan Iklan Lebuhraya PLUS Tiada Lesen

‘Banyak Brand Besar’ – 100 Papan Iklan Sepanjang Lebuhraya PLUS Didapati Tiada Lesen

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Jika anda menggunakan atau melalui mana-mana sahaja lebuh raya utama di seluruh negara, pasti akan perasan dengan pelbagai papan iklan bersaiz gergasi yang dipacakkan di tepi-tepi jalan.

Ada kalanya kita juga akan berasa janggal apabila melihat begitu banyak papan iklan di sepanjang jalan.

Namun, diketahui apabila sebahagian papan iklan itu rupa-rupanya tidak memiliki lesen dan permit sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Baru-baru ini, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengadakan Operasi Menampal Notis Iklan tidak berlesen di papan tanda (billboard) di tepi lebuhraya PLUS, bertujuan untuk mengenal pasti iklan tidak berlesen di sepanjang kawasan di bawah bidang kuasa mereka.

‘Banyak papan iklan dari brand besar’

Didapati, sebanyak 100 papan iklan telah ditampal notis tanpa lesen atau permit oleh MBS kerana tidak mengikut spesifikasi yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya.

Papan Iklan Lebuhraya PLUS Tiada Lesen
Sumber: Facebook MBS

Perkara itu diumumkan menerusi hantaran yang dimuat naik MBS di laman Facebook mereka. Operasi dilakukan terhadap iklan yang berada di tepi lebuh raya berkenaan bermula dari susur masuk Plaza Tol Ainsdale arah utara.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta syarikat-syarikat yang meletakkan iklan mereka di papan iklan di sepanjang lebuh raya perlulah turut bertanggungjawab memastikan syarikat pengiklanan yang dilantik mereka mempunyai lesen daripada PBT bagi berbuat demikian.

“Terlalu banyak papan iklan haram dikhuatiri kualiti yang dibina tidak menepati standard dan berbahaya kepada pengguna lebuh raya. Penting tindakan awal diambil kerana billboard haram tidak ikut spesifikasi boleh menjadi bencana kepada orang ramai,” katanya.

Papan Iklan Lebuhraya PLUS Tiada Lesen
Sumber: Facebook MBS

Ujar beliau, syarikat yang meletakkan iklan di billboard ini juga perlu bertanggungjawab dengan memberi kerjasama bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Difahamkan, bukan sahaja struktur binaan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak PBT malah tidak membayar pula cukai taksiran selain tidak mendapatkan permit iklan.

BACA:
Papan Iklan Unsur Lucah Dirobohkan, Ramai Masih Tak Tahu Saluran Betul Untuk Memohon

Sumber: Facebook Majlis Bandaraya Seremban, Utusan Malaysia