
Banteras LGBT, Arab Saudi Rampas Permainan Warna Pelangi
Susulan larangan tayangan filem antarabangsa seperti ‘Doctor Strange’ dan terbaru animasi Pixar ‘Lightyear’, pihak berkuasa Arab Saudi merampas permainan dan pakaian berwarna pelangi dari kedai di sekitar Riyadh.
Ia sebagai tindakan keras membanteras homoseksualiti dan simbol pelangi serta warnanya digunakan untuk mewakili golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Walauppun sektor pelancongan Arab Saudi semakin terbuka sejak 2019, Riyadh masih mengekalkan beberapa peraturan lama termasuk mengharamkan amalan homoseksual yang merupakan kesalahan di sisi undang-undang.
Dalam serbuan rampasan tersebut, kebanyakan barang yang dirampas adalah barangan yang dihasilkan untuk kanak-kanak seperti busur, skirt, topi dan bekas pensel yang kesemuanya berwarna pelangi, demikian menurut saluran berita kerajaan, Al Ekhbariya.
“Kami mengadakan lawatan untuk mengesan barang-barang bercanggah dengan akidah Islam dan mempromosikan warna homoseksual untuk menyasarkan generasi muda.
“Bendera homoseksual terdapat di salah satu pasar di Riyadh. Warna pelangi ini menghantar “mesej beracun” kepada kanak-kanak,” kata seorang pegawai kementerian Perdagangan Arab Saudi.
Tidak dinyatakan berapa banyak kedai yang menjadi sasaran atau jumlah barang yang dirampas. Pegawai-pegawai Arab Saudi juga tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai operasi tersebut.
Terdahulu, beberapa negara Timur Tengah iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir, Kuwait, Oman dan Qatar telah mengharamkan tayangan filem ‘Lightyear’ di pawagam.
Larangan tersebut disebabkan adegan sensitif sesama jantina. Dalam pada itu, larangan itu terus merebak ke negara Islam lain termasuk Malaysia dan Indonesia.
Sumber: The Guardian