
Banjir Di Kelantan: Lebih Teruk Dari 2014, Terburuk Sejak 31 Tahun?
Portal FMT melaporkan, penduduk jajahan Tumpat, Kelantan yang dilanda banjir teruk ketika ini menyifatkan banjir tahun ini merupakan antara yang terburuk sejak 31 tahun lalu.
Memetik dari laporan BERNAMA, seorang penduduk dari Kampung Menjual, Nur Fatihah Abdul Rahim, 31, berkata dia tidak menyangka hujan berterusan sejak dua hari lepas menyebabkan kediamannya dinaiki air melebihi satu meter.
Menurutnya lagi, kali terakhir banjir besar berlaku di kampung berkenaan ialah pada tahun 2014 iaitu ketika bencana banjir terburuk yang dikenali sebagai ‘bah kuning’.
Tetapi, ketika itu hanya beberapa rumah sahaja yang terjejas terutamanya di kawasan yang rendah.
“Namun, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 31 tahun lalu kerana arus air agak deras sehingga rumah saya dinaiki air.
“Saya sekeluarga segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, 2 pagi semalam kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk dari Kampung Berangan Hujung, Nor Azuralizma Ibrahim @Salleh, 40, pula berkata dia terkejut dan tidak menyangka air naik dengan begitu cepat dalam tempoh yang singkat.
“Pada 11 malam semalam, saya lihat di luar kawasan rumah telah banjir sehingga mencecah bahu jalan raya, tetapi selang tiga jam kemudian perkarangan rumah saya sudah mencecah hingga paras dada.
“Saya serta suami Mohd Asri Awang, 52, terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Berangan 1 dengan meredah banjir sejauh satu kilometer untuk ke PPS berkenaan bersama anak untuk menyelamatkan diri dan membawa bersama dokumen penting sahaja,” katanya kepada wartawan.
Semalam, dilaporkan sebanyak 10 sungai utama di Kelantan ketika itu telah melepasi paras bahaya membabitkan enam jajahan iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok.
Sumber: FMT