
Bangunan Setinggi 57 Tingkat Ini Dibina Hanya Dalam Masa 19 Hari
Banyak negara berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit kerana ingin menonjolkan kehebatan, bukan sahaja dari segi ketinggian tetapi juga reka bentuknya yang unik.
Kewujudannya juga dikatakan mempunyai ‘kuasa’ melonjakkan populariti bahkan menjadi penanda aras kepada pertumbuhan ekonomi di sesebuah negara. Kata mudahnya, semakin banyak memiliki bangunan pencakar langit, semakin majulah sesebuah negara itu.
Tamadun pembangunan kini melalui fasa berlainan apabila tidak berlumba membina sebanyak mana pencakar langit tetapi membina dalam jangka masa pendek.
Tahukah anda, sebuah bangunan setinggi 57 tingkat dibina dalam masa hampir tiga minggu atau hanya 19 hari sahaja? bangunan yang diberi nama Mini Sky City ini terletak di Changsha, ibu kota daerah Hunan, China.
Mini Sky City dibina pada kadar tiga tingkat sehari dengan mempunyai 800 unit pangsapuri dan ruangan pejabat yang boleh memuatkan seramai 4,000 orang!
Pada mulanya, bangunan ini dirancang dibina setinggi 220 tingkat tetapi dikurangkan kerana bimbang ia terlalu dekat dengan lapangan terbang. Pembinaan bangunan pasang siap yang mempunyai 19 atrium dengan ketinggian 10 meter itu juga adalah mesra alam.
Menurut pemaju, sebahagian besar bahagian bangunan itu dipasang di lokasi berasingan sebelum dibawa ke tapak pembinaan dan disusun di atas satu sama lain. Kaedah itu berjaya mengurangkan bilangan perjalanan yang diperlukan untuk mengangkut bahan mentah.

Secara keseluruhan sebanyak 15,000 perjalanan menggunakan lori berjaya dikurangkan sekali gus mengurang pencemaran udara akibat habuk dan asap kenderaan. Bangunan itu turut mengambil kira masalah pencemaran di China dengan menggunakan kaca empat kali ganda lebih tebal dan kawasan pembinaan yang ditutup rapi.
Syarikat pembinaan tersebut sebelum ini pernah membina bangunan setinggi 30 tingkat di sini dalam tempoh hanya 15 hari. Kata syarikat itu, teknologi berkenaan adalah inovasi paling bermakna dalam sejarah manusia. Mereka turut mendakwa, bangunan itu kalis gegaran gempa bumi.
Walaupun pembinaan itu dianggap peka terhadap alam sekitar tetapi beberapa pengguna internet menyuarakan kebimbangan berhubung isu keselamatan bangunan.
Sumber: The Irish Times
Trending now



