
Balik Kampung Tapi Tidur Di Hotel Boleh Mengguris Perasaan Orang Tua?
Setiap kali cuti perayaan tiba, selalu kedengaran kisah segelintir warga kota yang merungut ‘tidak selesa’ ketika berada di kampung atau rumah ibu bapa yang membesarkan mereka selama ini.
Sikap mengada-ngada mereka ini jelas kelihatan dan agak keterlaluan bila segala benda nak dirungutkan walaupun telah dibesarkan dalam rumah yang sama sebelum ini selama 2 dekad.
Bosan tak ada Wi-Fi, panas tak ada air cond, sejuk tak ada water heater, lenguh tak ada toilet seat dan macam-macam lagilah!
Sampaikan minum air masak pun nak bising sebab air tak ditapis dahulu menggunakan teknologi penapis air hebat dari Korea Selatan. Mengada-ngada sangat!
Hari Raya yang disambut untuk sama-sama berkumpul dengan adik-beradik dan ibu bapa di kampung pula seolah-olah dah jadi sekadar ‘Cuti-Cuti Malaysia’ bersama anak-anak di hotel dan resort sahaja.
Memang tidak dinafikan, ada yang memiliki bilangan ahli keluarga yang terlalu ramai serta benar-benar sukar sekiranya terpaksa berkongsi bilik dan tandas yang terhad di samping menjaga batas aurat masing-masing.
Tapi tanpa disedari, walaupun ibu bapa lebih banyak berdiam diri, sikap anak-anak yang tidak mahu tidur di rumah ini sebenarnya menyinggung perasaan mereka.
Lebih-lebih lagi ada yang ‘cover’ dan tak nak beritahu ibu bapa mereka tetapi akhirnya ter’kantoi’ jua perbuatan mereka tidur di hotel atau homestay itu.
Pengajaran yang dibawakan oleh arwah cikgu Abd Ghani Haron melalui hantaran yang dibuat oleh seorang Admin di laman Facebooknya ini mungkin boleh dijadikan iktibar buat semua yang bakal pulang ke kampung untuk bercuti raya tidak lama lagi.
TAK SANGGUP TIDUR DI RUMAH EMAK
Seorang wanita yang lebih tua dari saya yang berjemaah solat, berbual lepas solat ketika saya berada di motor untuk balik. Saya bertanya tentang sambutan raya dan hal anak tunggalnya. Air mukanya berubah.
Katanya, “Dia sampai balik pagi raya dengan anak bini. Katanya tak cuti dan jalan jem. Takpalah, asal dia balik. Petang raya, dia kata nak pi rumah mentua dan tidoq di sana, di Kg Tongplu, dekat Pedu.
“Saya tak kata apa. Tapi masa depa nak naik kereta, cucu saya bertanya mak dia, kita nak tidur di hotel semalam ka? Mak dan bapa dia diam tetapi saya sempat melihat menantu saya membeliak mata pada anaknya.”
Sampai di sini dia berhenti bercakap. Dia tunduk dan mula mengesat air mata dengan hujung telekung yang masih dipakai. Saya faham anaknya sebenarnya bermalam di hotel dan pagi itu baru balik ke rumah orang tuanya. Kes pecah tembelang.
“Hinanya kami mak bapa dia. Bapa yang membesaqkan dia, yang mendodoikan dia dalam kain sentung, menepuk hingga lena dalam kelambu takut digigit nyamuk. Hinanya emak dia yang dia gonggong susunya hingga bertahun, disuap nasi hingga membesaq, hinakah kami yang beri dia sekolah dengan titik peluh kami.
“Saya tahu, depa jijik tengok dapur saya, jijik bilik ayaq dan jambannya, jijik bilik tidur yang panas bertilam kabu. Tapi depa tak sedaq mereka membesaq dengan keadaan itu, tapi hari ini depa pandang jijik.
“Itu sebab depa tak mau tidok rumah ibu bapa sendiri, mereka tidok hotel. Bukan tak ada tempat di rumah tu, kerana dia anak tunggal. Tergamak dia.” Kesedihannya makin berlarutan.
Wahai anak, bukanlah perkataan dari lidahmu sahaja boleh melukakan hati ayah bondamu, bukanlah tingkah lakumu sahaja boleh mengguris hati emak ayahmu, tetapi tindakanmu juga boleh merobek hati kecil mereka.
Jika biasa dengan kemewahan di rumah sendiri, jangan mengharap yang sama di rumah ayah bonda. Kita dibesar dengan kepayahan ayah bonda, sesekali laluilah kembali.
Jika kita rasa tidak selesa di rumah ibu bapa, kenapa kita biar mereka hidup tidak selesa, kenapa tidak diupgrade rumah ibubapa seperti rumah kita.
Ingat kekayaan yang kita miliki sebenarnya berpunca dari pengorbanan ayah ibu yang menyekolahkan kita. Maka sepatutnya mereka hidup lebih selesa dari diri kita kerana mereka yang melabur harta dan tenaga untuk mencipta kejayaan kita, tetapi hasilnya kita kaut semuanya, meninggalkan ayah ibu dengan hidup di rumah tuanya.
Apa juga perkara yang kita rasa jijik pada kehidupan ibu ayah kita, sepatutnya dibeban kepada diri kita, bukan melarikan diri dari keadaan itu. Dalam kes ini, tidur di hotel kerana tak sanggup tidur di rumah ayah yang penuh geli geleman pada kita.
Jika anak-anak tidak dididik untuk merasa kepayahan orang lain, suatu hari mereka tidak akan mampu hidup bila ditimpa kepayahan. Jika anak dididik merasa jijik dengan apa yang orang lain lalui, apa lagi keturunannya, suatu hari nanti, mereka akan memandang jijik kepada seluruh mereka yang miskin.
Betapa ibu ayah mengharap anak yang pulang sesekali, menghidupkan kembali suasana rumah yang sunyi setelah anak berkeluarga. Tidurlah semalam dua, makan bersama, berkongsi bilik air dan bilik tidur dan sebagainya.
Jika terasa payah pun, biarlah demi menjaga hati emak ayah, janganlah merungut tidak sempurna itu ini. Mungkin emak ayah teringin naik kereta baru kita, bawalah mengunjung saudara mara, mungkin mereka sedikit ingin berbangga dengan kejayaan anak, bawalah bertandang, bershopping.
Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang baik kerana berkunjung mengerat silaturrahim, menggembirakan ayah ibu.
Jangan jadikan kunjungan beraya ke kampung menjadi gurisan tajam ke hati ibu ayah yang akan memahat dosa yang besar.
Tidak salah tidur di hotel atau homestay jika keadaan rumah tidak muat kerana ramai, mohon izin dengan baik pada ibu ayah. Mereka tentu memahami.
Menipu itu ibarat bangkai, yang amat mudah tercium busuknya, apa lagi bila Allah hendak membukanya. Bertindaklah dengan rasional, ibu ayah itu keutamaan.
Ingat suatu hari nanti kita juga akan berada di situasi ibu ayah kita.
(Dipetik dari himpunan kisah Bicara Mata Hati – 6 Jilid oleh Abd Ghani Haron http://www.wasap.my/60174271985bicaramatahati)
Sumber: Facebook Abd Ghani Haron
Trending now



