
Bagi Makan ‘Mak Cik Cleaner’, Usaha Murni ‘Abang Motor’ Ini Wajar Dicontohi
Kadang-kadang kita tidak sedar, ada orang di sekeliling kita yang mungkin kelaparan, belum lagi menjamah sarapan atau langsung tidak mampu untuk membeli makanan.
Dunia hari ini menyaksikan ramai yang terkesan akibat kenaikan harga barang, dikelilingi dengan hutang serta dihimpit kemiskinan.
Alangkah indahnya kalau ramai yang sedar dan memahami situasi sekarang ini dan sanggup berkongsi rezeki serta bersedekah kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Masya-Allah. Besar sungguh pahala orang yang suka memberi makan kepada orang lain yang turut dikatakan sebagai sifat seorang ahli syurga ini.
Ustaz Khairul Anuar Basri telah membuat satu perkongsian di Facebooknya sebuah kisah pengajaran mengenai bersedekah yang sempat disaksikan sendiri olehnya. Semoga dapat dijadikan iktibar dan dapat disebarkan agar menjadi ikutan ramai.
Buat baik itu terapi hati.
Tengok orang buat baik itu hiburan bagi diri.
Alhamdulillah.
Sebenarnya, saya masih lagi tak ada semangat untuk menulis apa-apa di dada Facebook saya. Tetapi untuk yang ini, saya tak dapat nak tahan diri saya dari menulis.
Ini sesuatu yang wajib saya kongsi dengan semua. Sebab tak selalu saya boleh tengok benda macam ni secara live di depan mata. Nasib baik saya tak terlepas untuk merakam moment berharga ini.
Rupa-rupanya, masih terlalu ramai orang kita yang punya hati dan perasaan. Rupa-rupanya, masih terlalu ramai orang kita yang mengejar kebaikan dalam diam.
Mereka bersedekah setiap pagi. Mereka mencari golongan ‘mahrum’ di sekitar mereka. Mereka buat sesuatu yang kecil pada pandangan kita tetapi signifikan dan memberi kesan kepada orang lain.
Sedang saya asyik buat kerja sikit dalam kereta, lalu abang motor ni parking depan kereta saya. Nampak dia melambai-lambai kepada seseorang.
Oh! Rupanya beliau memanggil akak cleaner yang sedang asyik menyapu sampah di sebelah tempat kereta saya parking.
Akak tu datang. Beliau pun hulur sebungkus nasi.
Subhanallah.. Masya-Allah…
Mulia sungguh hati abang motor ni. Mungkin beliau dalam perjalanan ke tempat kerja. Tapi sempat lagi berbuat kebaikan dalam kesempatan yang terhad.
Sedekah dalam bentuk bagi makanan. Mudah tapi berat. Senang tapi sukar.
Dan amalan sebegini sudah pasti bukan datang sekali sekala. Saya pasti abang ni dah memang perangai dia macam ni. Sebab saya boleh tengok dalam raga motornya masih ada lagi beberapa bungkus nasi.
Saya doakan abang motor ini hidupnya sentiasa diberkati oleh Allah. Murah rezeki beliau insya-Allah.
Beliau membuka mata saya dan mendorong saya untuk buat sama macam apa yang beliau buat. Tidak hanya fikirkan menu apa sarapan kita pagi ini. Tetapi dalam waktu yang sama, fikir dan ingat juga orang sekeliling yang mungkin tak mampu pun untuk bersarapan.
Sifat suka memberi makan ini sifat ahli syurga bang. Saya doakan abang akan menjadi ahli syurga. Amin.
Akak cleaner ni adalah contoh orang susah yang kita selalu terlepas pandang. Kerja beliau signifikan tapi kita tak ambil berat.
Kerja akak cleaner ni tak sehebat kita. Berpanas dan masam. Kotor dan busuk. Orang tak nak kerja macam ni.
Tapi beliau sangat penting dan buat kerja penting dalam masyarakat. Kalau takde akak cleaner ni, habis kotor la kawasan tempat kita tinggal. Takde siapa yang nak sapu dan bersihkan sampah atas jalan raya.
Lebih penting, akak cleaner ni sudah pasti bukan orang senang. Dan beliau bekerja keras demi sesuap nasi.
Kita tak tahu apa kesusahan yang beliau sedang tanggung. Mungkin dengan rezekinya buat kerja cleaner menjadi asbab banyak mulut di rumah beliau dapat disuap dengan makanan.
Beliau ini saya rasa boleh kita panggil sebagai golongan mahrum iaitu orang susah yang tidak meminta.
Dalam harta kita, ada bahagian orang lain. Orang lain tu pulak, ada yang meminta dan ada yang menahan diri dari meminta.
Nak bagi dekat orang yang meminta ni senang. Sebab kita selalu jumpa orangnya. Tapi yang tak meminta ni, ini la yang kita kena usaha untuk cari.
Tahniah abang motor. Anda dah buat kerja yang sangat mulia pagi ini. Anda dah ketuk hati saya untuk tiru apa yang anda buat.
Semoga perkongsian ringkas saya pagi ini juga bisa mengetuk hati orang yang membaca catatan ini untuk mencontohi anda.
Jadikan habit setiap pagi. Beli je sarapan untuk kita, selit sekali beberapa bungkus sarapan untuk orang lain.
Jumpa cleaner, bagi. Jumpa pakgad, bagi. Jumpa siapa-siapa, bagi.
Pasti Allah akan berkati.
#KAB
BACA: Dilayan Macam Sampah, Ini Hakikat Yang ‘Cleaner’ Universiti Terpaksa Hadapi Setiap Hari
Sumber: Facebook Khairul Anuar Basri