
Bagaimana Budak 15 Tahun Berjaya Bina Empayar Dadah Hingga Dikenali Sebagai Kartel Paling Kejam Di Dunia
Dalam banyak-banyak kartel dadah di dunia, kartel mana yang anda rasa paling kejam?
Antara isu yang paling tidak pernah diselesaikan sehingga ke hari ini ialah berkenaan dengan kartel dadah. Sehingga kerajaan Mexico pada satu masa dahulu pernah terpaksa mengisytiharkan ‘perang’ dengan mereka.
BACA: Kartel Dadah Langkawi Jalan Operasi Persis Raja Dadah Dunia, Pablo Escobar
Sejak daripada perang anti dadah berkenaan dilancarkan ratusan ribu rakyat menjadi korban termasuklah orang awam, pelajar, wartawan dan ahli politik. Walaupun mendapat bantuan dana berbilion dolar daripada negara besar seperti Amerika Syarikat, masalah ini tetap tidak selesai.
Kartel dadah yang mencipta nama sebagai yang paling bahaya di Mexico ialah Kartel Sinaloa yang berjaya mencantas kumpulan lain daripada segi perniagaan dan populariti.

Kawasan perniagaan yang besar meliputi kawasan Amerika Tengah dan Amerika Selatan selain daripada memiliki hubungan dengan pihak polis dan tentera menjadikan Kartel Sinaloa seakan kebal di sana.
El Chapo ambil alih Kartel Sinaloa
Kartel Sinaloa menjadi huru hara sejak El Chapo Guzman mengambil alih pentadbiran.
Bapa El Chapo sendiri, Emilio Guzman Bustillos merupakan orang yang memperkenalkan El Chapo kepada dunia dadah dengan mendapatkan pendapatan tambahan menerusi penanaman dan perniagaan candu popi – sejenis tumbuhan yang menjadi sumber kebanyakan dadah.
BACA: Mexico Tersenarai Sebagai Negara Paling Bahaya Untuk Pengamal Media
Kecewa dengan ayahnya yang sentiasa mengguna duit untung perniagaan untuk pelacur dan alkohol, El Chapo berhenti sekolah dan memulakan perniagaan sendiri bersama empat orang saudaranya di Sinaloa, ibu kota Mexico ketika berusia 15 tahun.
Walaupun masih muda, Juaquin Guzman atau lebih dikenali dengan gelaran El Chapo (Si Pendek dalam Sepanyol) mampu menyara keluarganya dan kemudiannya menjadi Raja Dadah paling kaya dan berkuasa di dunia.
Sertai kartel yang diasaskan oleh Miguel Angle Felix Gallardo
Meninggalkan kampung halaman , La Tuna demi mahu mengembangkan kerjayanya, El Chapo menyertai Kartel Guadalajara yang pada ketika itu merupakan sebuah organisasi dadah terkemuka yang diasaskan oleh Miguel Angel Felix Gallardo.
Bermula daripada pekerja operasi belakang tabir, El Chapo dinaikkan pangkat dan ditugaskan untuk menjaga logistik pergerakan dadah dari Colombia dan Mexico.

Selepas Gallardo ditangkap atas kesalahan membunuh agen Amerika Syarikat yang bekerja di Agensi Penguatkuasaan Dadah, Kartel Guadalajara dibahagikan mengikut wilayah dan El Chapo mendapat tempat di bahagian Sinaloa dan Pantai Pasifik.
Di sinilah bermulanya sejarah Kartel Sinaloa.
Kekayaan El Chapo
Pada tahun 2009, Forbes menganggarkan nilai bersih kekayaan El Chapo adalah sebanayk USD1 bilion dengan pendapatan tahunan melebihi USD3 bilion dan merupakan orang ke-48 paling berkuasa di dunia.
Antara yang paling lama bergelar ketua, El Chapo pernah beberapa kali melarikan diri dari penjara dengan menggunakan terowong bawah tanah selepas berjaya merasuah pegawai penjara, pengaruh El Chapo turut disamakan seperti Pablo Escobar.
Semasa melarikan diri buat kali kedua dari Penjara Persekutuan Keselamatan Maksimum, El Chapo sempat menjalani temu bual bersama pelakon, Sean Penn untuk majalah Rolling Stonae.
Dalam temu bual tersebut, El Chapo mendedahkan untuk menjalankan aktiviti perniagaannya beliau menggunakan kapal selam, pesawat, trak dan bot selain daripada menyembunyikannya dalam bahan lain seperti tin ‘serbuk lada’ dan alat pemadam kebakaran.
Penjara seumur hidup
Pada Julai 2019 selepas sahaja El Chapo dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, keganasan berlaku tanpa henti di Mexico susulan daripada beberapa kartel lain yang cuba menguasai Sinaloa.

Namun Kartel Sinaloa menjadi semakin kuat dan menguasai barat laut Mexico di bawah pentadbiran anaknya, Ovidio Guzman Lopez sehingga digelar sebagai kartel dadah paling kejam di dunia.
Selepas Lopez ditahan pasukan keselamatan Mexico, Kartel Sinaloa telah mengisytiharkan perang dengan pasukan tentera. Walaupun pengasasnya ditangkap, operasi Kartel Sinaloa tetap semakin berkembang dengan pesat sehingga kini.