Google

‘Bagaikan Satu Tamparan’ – Ramai Kecewa Dibuang Kerja Oleh Google Melalui E-Mel

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang jurutera perisian Google berkata, ia ‘bagaikan satu tamparan’ untuk mengetahui dia diberhentikan kerja hanya melalui e-mel walaupun selepas 20 tahun berkhidmat di syarikat gergasi tersebut.

Jeremy Joslin, yang telah bekerja di gergasi teknologi itu sejak 2003 berkata, pada hari Jumaat lalu, syarikat tersebut telah menghantar berita buruk itu hanya melalui e-mel.

“Sukar untuk saya percaya bahawa selepas 20 tahun di Google, saya sama sekali tidak menyangka hanya mengetahui tentang hari terakhir saya melalui e-mel,” ciapnya.

“Bagaikan satu tamparan di muka. Saya hanya mengharapkan saya boleh berjumpa dengan semua orang untuk mengucapkan selamat tinggal,” tambahnya.

Dalam catatan di LinkedIn, Joslin menambah: “Saya tidak pernah menyangka ianya akan berlaku seperti ini.”

Google mengumumkan pada Jumaat lalu bahawa mereka telah memberhentikan kira-kira 12,000 pekerja, atau 6% daripada tenaga kerja globalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sundar Pichai berkata syarikat itu sebelum ini telah mengambil pekerja terlalu cepat dan akhirnya tidak dapat mengekalkan semua kakitangannya dalam realiti ekonomi semasa.

“Dilepaskan melalui transaksi e-mel tanpa sebarang penghargaan peribadi terhadap jasa anda kepada syarikat selama ini merupakan satu cara keluar yang sangat pahit,” kata Joslin di LinkedIn.

“Sedikit belas kasihan dan sentuhan peribadi pasti boleh memberi manfaat yang lebih besar.”

Joslin turut mendakwa pada pagi tersebut dia kehilangan semua akses untuk syarikat itu dan tiada sesiapa dari pihak pengurusan yang cuba menghubunginya.

“Seolah-olah saya tercicir dari grid dan kini mereka kenalah pandai-pandai sendiri untuk buat kerja saya,” tambahnya lagi.

Seorang saintis penyelidikan, Dan Russell, pula berkata di LinkedIn, “Saya mendapat tahu apabila saya masuk kerja pada pukul 4 pagi untuk menyelesaikan satu analisis penting tetapi kad akses saya tidak lagi berfungsi.

“Selepas 17.5 tahun di Google, ia adalah satu cara yang sukar untuk mengetahui bahawa saya akhirnya menjadi seorang Xoogler.”

Elizabeth Hart, pengurus pemasaran kanan dalam pasukan pengiklanan global Google yang telah bekerja di syarikat itu sejak 2007 pula berkata di LinkedIn bahawa dia mendapat tahu dia telah diberhentikan kerja apabila dia memeriksa telefonnya pada pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, dia masih mamai dan separuh tidur ketika bangun pada pagi itu apabila terlihat pemberitahuan yang mengatakan bahawa akses korporatnya telah tamat tempoh, bersama satu artikel dari New York Times yang memaklumkan mengenai pemberhentian itu.

Bloomberg melaporkan pemberhentian kerja oleh Google itu dilihat sebagai berstruktur dan bukannya dibuat berdasarkan penilaian prestasi. Sebilangan pekerja turut mendakwa bahawa sebilangan besar dari mereka atau kesemua dari pasukan mereka telah diberhentikan.

Joslin turut mengulas dan mengakui bahawa syarikat itu telah banyak berubah sepanjang dua dekad dia bekerja di situ.

“Bukan syarikat yang sama macam saya mula bekerja pada 20 tahun lalu,” katanya di LinkedIn.

Seorang lagi jurutera yang diberhentikan berkata bahawa penamatan besar-besaran ini menunjukkan Google melihat pekerjanya sebagai ‘100% boleh dipakai buang’.

“Saya hancur. Saya sedih, marah,” kata Bolick di LinkedIn. “Ada ketikanya saya masih lagi berharap, tetapi di saat ini saya berasa takut, dan sangat terluka.”

Google

BACA: Meta, Twitter, Microsoft Berlumba-Lumba Buang Pekerja – Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Sumber: Business Insider