
Bagaikan Filem John Wick, Lelaki Ini Mengamuk Selepas Anjing Peliharaannya Terbunuh
Dalam dua klip video yang dimuat naik di Facebook Taiping Zone, satu kejadian pergaduhan telah berlaku dipercayai di sekitar sebuah taman perumahan di Taiping, Perak.
Difahamkan seorang lelaki telah mengamuk dengan memecahkan cermin kereta sebuah kereta Mazda yang telah melanggar anjing peliharaannya sehingga mati.
Menurut sumber tidak rasmi yang diperolehi dari ruangan komen, lelaki tersebut membalas dendam setelah mendapat tahu bapanya yang membawa anjingnya itu bersiar-siar turut dipukul pemandu kereta tersebut.
Seorang wanita yang dipercayai pemandu kereta tersebut pula difahamkan tidak mahu mengalah sehingga berlaku provokasi yang semakin ‘panas’.
Lantaran itu, demi menegakkan keadilan membela bapanya yang teraniaya akibat dipukul serta anjing peliharaannya yang terbunuh, lelaki tersebut menghayun sebatang kayu sekuat hati ke cermin belakang kereta wanita tersebut sehingga pecah!
Sisi kereta wanita tersebut turut dipukul bertalu-talu sehingga kayu yang digunakan oleh lelaki tersebut patah dan bertebaran di atas jalan raya.

Di ruangan komen juga didapati ramai netizen menyamakan lelaki tersebut dengan watak John Wick yang dilakonkan oleh Keanu Reeves.
Dalam filem John Wick (2014), seorang pembunuh upahan yang telah bersara dari dunia gelap kembali untuk memburu kumpulan mafia Rusia yang bertanggungjawab membunuh anjing peliharaan pemberian terakhir isterinya.
Seperti juga lelaki tersebut, filem ini menunjukkan betapa kasihnya manusia terhadap haiwan peliharaannya sehingga sanggup membuat apa saja.
BACA: Arab Saudi Menuju Modernisasi, Buka Kafe Mesra-Anjing Pertama
Terdapat juga komen yang menggesa lelaki tersebut agar membuat laporan polis dan membawa bapanya untuk mendapat rawatan terlebih dahulu, bukannya bertindak mengikut perasaan.
Turut didapati komen-komen netizen yang menyeru agar kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini dengan cara baik dan bermaaf-maafan sempena Tahun Baru Cina yang bakal muncul beberapa hari lagi.
BACA: Ulasan Filem: John Wick: Chapter 3 – Parabellum, Penuh Aksi
Sumber: Taiping Zone