
Bacaan Doa Ustaz JAWI Mohon ‘Tambah Isteri’ Undang Rasa Kurang Senang
Satu video yang dimuat naik di TikTok memaparkan seorang ustaz yang mengetuai bacaan doa dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur mengundang rasa kurang senang orang ramai.
Dalam video tersebut, bacaan doa ustaz itu dengan jelas memohon agar diberikan rezeki mencurah serta dibolehkan untuk berkahwin lebih dari seorang isteri.
Dalam doa yang dibacakan itu juga didapati ustaz tersebut memohon agar kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menjadi golongan yang paling ramai berpoligami.
“Ya ALLAH kami pinta agar berilah kemurahan rezeki yang mencurah banyaknya kepada kami ini, membolehkan kami melayari bahtera kehidupan dan membolehkan kami menambah isteri lebih daripada seorang.
“Sesungguhnya di luar sana ramai perempuan yang inginkan suami seperti kami.
“Kami amat mengharapkan agar jabatan agama Islam kami ini menjadi jabatan yang terbaik dan paling ramai berpoligami adalah di jabatan JAWI ini,” antara kandungan doa tersebut.
Ustaz tersebut difahamkan sebenarnya merupakan seorang pegawai JAWI dan juga ketua imam di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan.
Dia juga mendakwa dia hanya membacakan teks doa yang diberikan kepadanya sahaja. Namun, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berpendapat bacaan doa tersebut adalah berbeza daripada teks doa yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
“Kami amat mengambil berat terhadap profesionalisme pegawai dalam melaksanakan tugasan agar imej institusi Islam sentiasa terpelihara.
“Justeru tindakan nasihat dan teguran telah diberikan terhadap pegawai berkenaan agar mematuhi garis panduan dan teks doa yang ditentukan oleh pihak JAWI pada masa akan datang,” jelas Pengarah JAWI tersebut.
Portal Majoriti melaporkan video tersebut sudah menerima lebih 2,000 kali jumlah tontonan dan juga telah mengundang banyak kecaman dari netizen.
BACA: Khutbah Jumaat JAWI Siap Promo Produk Kedai Emas Dan Tawar Hadiah Istimewa?
Sumber: Majoriti
Trending now



