Haron Din

Azmin Kongsi Pengalaman Ziarah Pusara Dato’ Dr. Haron Din Yang Terletak Di California

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali berkesempatan untuk menziarahi pusara bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Dato’ Dr. Haron Din di California ketika dalam lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haji Haron Din (18 Ogos 1940 – 15 September 2016) meninggal dunia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Bagi menghormati permintaan beliau, anak-anaknya memilih untuk menyempurnakan dan menyegerakan urusan penyemadian beliau di tempat beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Sepanjang hayat beliau, Haron Din memang amat disegani dan dihormati oleh kawan mahu pun lawannya. Pemergian beliau amat mengejutkan dan ramai yang bersedih kerana tidak berpeluang untuk memberikan penghormatan yang terakhir buatnya.

Melalui perkongsian yang dibuat oleh Datuk Azmin Ali di Facebooknya ini, orang ramai berpeluang untuk melihat sendiri pusara agamawan tersohor tersebut di samping mengingati kembali jasa-jasa beliau selama ini.

Al-Fatihah.

Haron Din

Saya berkesempatan untuk menziarahi pusara Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California.

Suasana sayu dan hiba tatkala saya tiba di pusara Almarhum, mengenangkan pertemuan terakhir kami pada 9 September 2016 di Masjid Al Umm, Bangi, sehari sebelum Almarhum dan keluarga berangkat ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan. Sedih apabila menerima panggilan telefon dari ahli keluarga yang memaklumkan Tuan Guru menghembuskan nafas terakhir pada 15 September 2016, hanya beberapa hari selepas pertemuan kami.

Hari ini, 15 Mei 2022, saya menziarahi pusara Almarhum. Saya membacakan surah Al Fatihah dan Yaasin dengan perasaan yang amat sedih di atas perpisahan ini. Saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT semoga Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din dianugerahkan husnul khatimah dan ruhnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni’mat Allah SWT. Al Fatihah.

Rindu pada sosok Almarhum, seorang murabbi ummah yang banyak berbakti terhadap umat dan perkembangan Islam di Malaysia dan juga di rantau. Selain merupakan tokoh sarjana muslim yang menyemai intelektualnya dan tradisi keilmuan, Almarhum juga memainkan peranan besar dalam memasyarakatkan penghayatan Al Quran.

Kecintaan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din terhadap institusi ilmu serta pembangunan masyarakat ilmu telah mendorong beliau untuk membangunkan Masjid Al Umm sebagai pusat pencerdasan umat Islam. Usaha ini yang membidankan pertemuan kami di Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor pada 8 Julai 2015 bersama Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al Umm untuk Kerajaan Negeri membantu menyegerakan pembangunan institusi Islam di Bangi.

Mengenali sosok Almarhum secara peribadi serta menyedari tekad beliau terhadap usaha membangunkan umat yang cerdas dengan ilmu dan lengkap dengan amal, maka saya telah meluluskan peruntukan RM 4 juta demi kemaslahatan ummah sekaligus merancakkan perkembangan syiar Islam di Negeri Selangor. Masih segar dalam ingatan saya betapa eratnya dakapan Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din tatkala saya hadir ke Masjid Al Umm untuk menunaikan solat Jumaat terakhir bersama beliau dan menyerahkan cek dana pembangunan Masjid Al Umm.

Masih segar di ingatan saya, Almarhum secara peribadi menghubungi saya dan beberapa kali menziarahi saya di rumah untuk bersarapan pagi. Kami bincang pelbagai aspek yang terkait dengan ummah dan beliau banyak memberikan nasihat dan panduan kepada saya. Ya Allah, aku rindu murabbi ummah. Aku rindu Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Semoga damai dan bahagia di sana. Ameen.

Sumber & kredit foto: Facebook Azmin Ali