
Ayahanda YDPA, Sultan Ahmad Shah Mangkat
Ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar kembali ke rahmatullah pada pagi Rabu.
Berita itu dikongsi cucunda baginda, Tengku Puteri Iman Afzan menerusi laman Instastory akaun miliknya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
Almarhum mangkat pada usia 88 tahun, kira-kira pukul 8.50 pagi Rabu, bersamaan 17 Ramadan di hari Nuzul al-Quran.

Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang juga Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun.
Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari lalu.
Kami merakamkan ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Pahang di atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Sumber: Astro Awani