Influenza

AWAS! Musim Influenza Sedang Melanda, Amat Mudah Berjangkit Di Kalangan Kanak-Kanak!

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menjadi kerisauan di kalangan ibu bapa ketika ini apabila didapati kes influenza di kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

Di media sosial, ramai netizen turut berkongsi kisah anak mereka yang masih lagi belum kebah dari demam malah ada juga yang kini terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Tahukah anda, penyakit influenza ini juga sebenarnya merbahaya kerana boleh mengakibatkan komplikasi lain sehingga boleh membawa maut?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bahaya wabak influenza ini, Pakar Perunding Pediatrik (Endokrinologi), Dr Rashdan Zaki Mohamed telah membuat perkongsian info berikut di Facebooknya, Rashdan Mohamed yang boleh sama-sama kita jadikan rujukan.

Influenza

Ini musim INFLUENZA

Apa yang ibu bapa perlu tahu berkenaan jangkitan INFLUENZA di kalangan kanak-kanak

  1. Influenza (flu) adalah jangkitan kuman virus. Ianya menyebabkan gejala seperti demam panas, sakit tubuh, batuk, selesema, sakit tekak, letih, muntah, cirit dan gejala lain. Biasanya gejala ini berlanjutan untuk 1 minggu.
  2. Ada TIGA jenis jangkitan kuman Influenza. Influenza A, B dan C. Tetapi sinonimnya A dan B, dan kedua-duanya lebih serius berbanding C. Virus kerap bermutasi menyebabkan sukar untuk mengawalnya.
  3. Ianya mudah berjangkit, terutama antara ahli keluarga, nurseri, rumah pengasuh, tadika dan sekolah. Biasanya melalui batuk dan selsema, atau permukaan yang tercemar.
  4. Pesakit yang dijangkiti virus ini mudah menyebarkannya kepada orang lain, terutamanya 24 jam sebelum gejala pertama, sehinggalah hari ke 5 hingga 7 jangkitan.
  5. Apa yang membimbangkan, selain gejala yang serius, influenza boleh membawa kepada komplikasi lain seperti pneumonia, jangkitan kuman telinga, radang otot, radang otak dan Nauzubillahiminzalik, juga boleh membawa maut.
  6. Bagaimana doktor mengesahkan jangkitan kuman Influenza? Ialah melalui ujian calitan hidung/tekak dan saringan makmal. Biasanya untuk Influenza A dan B, bagi mereka yang bergejala.
  7. Bagaimana pula rawatan? Rawatan termasuk rawatan untuk gejala seperti ubat demam. Dan, ubat ANTI-VIRAL, yang sebaiknya diberi awal (dalam 2 hari pertama bergejala).
  8. Apa pencegahan yang terbaik? Vaksin Influenza setiap tahun! Dan penjagaan kebersihan seperti cuci tangan, pelitup muka dan sebagainya.
  9. Anak saya telah disahkan Influenza positif, apa yang patut kami buat? Rehat yang cukup, minum air untuk hidrasi, pemakanan untuk nutrisi sihat, rawatan ubatan untuk gejala dan anti-virus mengikut nasihat doktor, pemantauan rapi, penjagaan kebersihan diri dan pemeriksaan kesihatan.
  10. Bagaimana pula orang dewasa? Ya, orang dewasa juga terdedah kepada jangkitan, gejala, komplikasi yang sama, terutama mereka yang ada masalah kesihatan kronik. Dan, juga digalakkan untuk mengambil vaksin setiap tahun.

Dr Rashdan Mohamed
Pakar Perunding Pediatrik (Endokrinologi)
Hospital Pakar Damansara 2

#pediatrik
#influenza
#drrashdanmohamed

BACA: Simptom Nampak Sama Buat Ramai Keliru, Ketahui Perbezaan Influenza Dan COVID-19

Sumber: Rashdan Mohamed