
AWAS! Korek Hidung Boleh Meningkatkan Risiko Nyanyuk – Kajian
Perbuatan mengorek hidung sebenarnya dikatakan berupaya meningkatkan risiko nyanyuk ke atas manusia.
Demikian lapor akhbar Daily Star menurut satu kajian baharu yang dijalankan oleh Universiti Griffith yang terletak di Australia.
Kajian tersebut mendedahkan, perbuatan mengorek hidung sebenarnya boleh menyebabkan jangkitan bakteria meresap ke dalam darah dan terus bergerak ke dalam otak.
Bulu dan lendir di dalam hidung pula seperti yang diketahui selama ini berfungsi sebagai penghalang semula jadi atau mekanisme untuk menghalang bakteria dari mudah memasuki otak.
Oleh yang demikian, apabila seseorang mengorek hidung, mereka didapati secara tidak sedar telah mengeluarkan sekali beberapa mekanisme pertahanan semula jadi tersebut bersama-sama dengan tahi hidung.
Kajian tersebut yang menggunakan tikus telah mendapati apa sebenarnya yang boleh berlaku apabila saraf yang menghubungkan hidung ke otak terdedah kepada Chlamydia pneumoniae, sejenis pepijat yang biasanya tidak berbahaya yang menyebabkan masalah sinus.
Didapati paras bakteria dalam otak boleh dikesan dalam masa 72 jam dan dalam masa sebulan, tikus tersebut telah berjaya membina gumpalan plak protein yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer atau nyanyuk.
Pasukan penyelidik walau bagaimanapun perlu melakukan kajian itu terhadap manusia terlebih dahulu dan mengesahkan sama ada laluan yang sama turut beroperasi dengan cara yang sama seperti ujikaji terhadap tikus tersebut.
“Kami adalah orang pertama yang menunjukkan bahawa Chlamydia pneumoniae boleh merebak terus ke hidung dan otak di mana ia boleh mencetuskan patologi yang kelihatan seperti penyakit Alzheimer.
“Kami melihat perkara ini berlaku dalam model tikus dan buktinya berpotensi menakutkan manusia juga,” jelas penulis utama kajian, Profesor James St John.
BACA: Tak Sangka Ulam Popular Ini Miliki Rahsia Kehebatan, Dilapor Mampu Atasi Penyakit Nyanyuk
Sumber: Kosmo!