Tangkap layar dari Facebook Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC)

“Atas Bumbung Ke Tu?”, JDT Dikecam Di Media Sosial Gara-Gara Pelan Tempat Duduk Dalam Stadium Sultan Ibrahim

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pelan tempat duduk musim 2022 Stadium Sultan Ibrahim yang dikeluarkan oleh kelab Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (JDT) mendapat kecaman di media sosial.

Ini ekoran dari pelan tempat duduk di dalam Stadium Sultan Ibrahim yang dikeluarkan oleh JDT tersebut dilihat sebagai tidak adil untuk penyokong pasukan lawan yang datang bertandang.

Menurut pelan musim 2022 tersebut, tempat duduk yang dilabel untuk ‘AWAY FANS’ dan disediakan khas buat penyokong lawan itu terletak di kawasan hujung stadium dengan kapasiti yang kecil sahaja.

Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dan ‘memanaskan’ lagi penyokong KL City FC yang bakal berkunjung ke stadium itu Sabtu ini untuk perlawanan Piala Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah).

Di Facebook Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC), satu hantaran telah dibuat oleh salah seorang admin laman tersebut yang seolah-olah mempersenda tindakan kelab Harimau Selatan itu.

Tangkap layar dari Facebook Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC)
– Tangkap layar dari Facebook Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC)

“Atas bumbung ke tue….tanya jer??…Kami tak ramai.. Insya-Allah kami hadir…tungguuuu…..”, katanya dalam satu hantaran yang dibuat semalam.

Di ruangan komen, beliau menambah lagi, “Doakan piala pulang bersama ke ibu kota…tiada yang mustahil…”.

Hantaran beliau itu disambut oleh beberapa orang lagi penyokong yang memberi komen “Aamiinnn” bagi mengiringi doanya tersebut.

Namun, ramai juga pengguna Facebook yang masih tidak berpuas hati dengan pelan tempat duduk yang dikeluarkan oleh JDT tersebut.

“Baik tengok tv ja kalo cam ni..tahap tu punya away layanan.” – Mohammad Noor Fauzi

Haha..dari Stadium Larkin lagi..perangai macam ni.” – Ahmad Fazli

“Baik letak skrin besar ja luar stadium kalau macam ni gayanya sambut penyokong Kuala Lumpur.” – Hafiz Saad

“Baru tau ka penyokong Kedah dah lama la kena macam tu hahahahaha biasa la JDT katakan..” – Dekmin Tsd

“Benda dah lama bang.. setaraf Eropah katanya”. – Wan Ijan

Terdapat juga komen yang berpendapat bahawa kemungkinan pelan tempat duduk tersebut adalah bagi ‘SEASON PASS’ musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2022 nanti dan bukannya untuk Piala Sumbangsih.

Untuk perlawanan Piala Sumbangsih, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini telah menetapkan stadium di venue neutral tidak akan digunakan bagi mengelakkan pergerakan besar penyokong.

Oleh itu, stadium penyandang juara Liga Super iaitu Stadium Sultan Ibrahim akan digunakan dan bukannya stadium neutral.

Sumber: Facebook Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC)