
Askar Korea Selatan Ditemui Mati Lepas Dipecat Kerana Buat Pembedahan Tukar Jantina
Seorang askar Korea Selatan yang pertama dikenali sebagai transgender ditemui mati.
Mayat Byun Hee-soo ditemui bomba di kediamannya di Cheongju, selatan Seoul, selepas seorang kaunselor kesihatan menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk melaporkan tiada khabar berita daripadanya sejak 28 Februari lalu.
Korea Selatan ialah negara yang konservatif mengenai masalah identiti seksual dan jantina serta kurang bertoleransi terhadap hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berbanding beberapa negara lain di Asia.
Kebanyakan golongan gay dan pondan di Korea tidak mendedahkan identiti mereka secara terbuka.
BACA: Stigma Homofobia Bantut Korea Selatan Tangani COVID-19 Melibatkan Kluster Kelab Malam
Byun Hee-soo merupakan bekas askar berpangkat sarjan berusia 20-an, mendaftar secara sukarela untuk menjadi tentera pada 2017, sebelum menjalani pembedahan penukaran jantina di Thailand pada 2019.
Dia menjadi pegawai Korea Selatan pertama yang melakukan pembedahan menukar jantina ketika masih dalam perkhidmatan.
Apabila identiti Hee-soo diketahui, Kementerian Pertahanan memutuskan tidak membenarkannya terus berkhidmat walaupun sebagai seorang askar wanita.
“Menurut jawatankuasa (pegawai) itu tidak dibenar terus berkhidmat berdasarkan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Pengurusan Pegawai Tentera,” kata Angkatan Tentera dalam satu kenyataan.
Pasukan perubatan tentera mengisytiharkan pegawai itu sebagai ‘orang cacat’ kerana kehilangan alat kelamin dan panel tentera memutuskan pada Februari lalu bahawa Hee-soo akan diberhentikan secara paksa.
Selepas dia diberitahu untuk dipecat, Hee-soo mengadakan satu sidang media, mahu diberi peluang untuk terus berkhidmat dalam tentera.
“Saya seorang askar Republik Korea,” katanya dalam nada tertahan-tahan.
“Berkhidmat dalam tentera menjadi impian saya sejak kecil.
“Ketepikan identiti seksual saya, saya ingin menunjukkan kepada semua orang bahawa saya boleh menjadi seorang tentera hebat yang mempertahankan negara.
“Tolong beri saya peluang itu,” katanya sambil menangis.
Menjadi seorang tentera merupakan impiannya sejak sekian lama dan telah menunaikan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
Polis kini sedang menyiasat punca kematian Hee-soo.
Sementara itu, kumpulan hak asasi antarabangsa menyatakan kebimbangan mengenai cara negara itu memperlakukan askar gay, yang dilarang melakukan perlakuan seks sesama jenis dan boleh menghadapi hukuman penjara hingga dua tahun jika ditangkap, walaupun ia bukan satu kesalahan dalam kehidupan sivil.
Sumber: SCMP