Multiverse

Asal Usul Konsep ‘Multiverse’ Dalam Dunia Sains

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Penggemar filem-filem Hollywood mesti perasan sejak kebelakangan ini ada banyak filem yang memaparkan alam multiverse atau dunia pelbagai.

Sejak filem animasi Spider-Man: Into the Spider-Verse (2018) yang pecah panggung dan memenangi anugerah Oscar kerana berani membawa konsep gila multiverse ini sehingga ia berjaya diterima penonton, banyak pula filem yang lahir selepasnya dengan idea yang sama.

Walaupun Avengers: Endgame (2019) yang mula-mula membawa penonton menerokai pengembaraan masa dengan pelbagai timeline, siri Disney+ seperti Loki dan What If…? sebenarnya yang memberikan gambaran dunia multiverse dengan lebih jelas.

Diikuti pula dengan Spider-Man: No Way Home (2021) yang pernah dipertikai kerana banyak ‘menciplak’ Spider-Man: Into the Spider-Verse dan kemuncak eksplorasi dunia pelbagai dalam Doctor Strange in the Multiverse of Madness (2022) yang menemui penonton baru-baru ini.

Filem terbaru Tan Sri Michelle Yeoh, Everything Everywhere All at Once (2022) yang dibawakan bersama oleh ‘orang kuat’ Marvel Cinematic Universe iaitu Anthony Russo dan Joe Russo turut menerokai alam multiverse yang berbeza dan sangat seronok ditonton (AWAS: Mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak).

Sebenarnya, betul ke multiverse ini benar-benar wujud dalam dunia sains? Siapa pula yang mula-mula membawa konsep dunia pelbagai ini?

Kalau nak tahu, jom baca perkongsian ilmu yang dibawakan oleh Zamir Mohyedin di Facebooknya ini:

Multiverse

Sekarang ini banyak betul filem yang meneroka idea dunia pelbagai, dari Everything Everywhere All at Once hinggalah Doctor Strange: Multiverse of Madness. Nak sembang sikit pasal bagaimana idea ini muncul dalam dunia sains.

Dalam satu syarahan pada tahun 1952 di Dublin, Erwin Schrodinger pernah berseloroh idea yang dia bagi amaran awal-awal “kedengaran gila”. Beliau berkata persamaan gelombang Schrodinger yang membolehkannya menang Hadiah Nobel menggambarkan dunia pelbagai (multiverse).

Kalau kita biasa dengar persamaan Schrodinger, automatik kita akan teringat dengan mekanik kuantum. Apa kaitan mekanik kuantum dengan dunia selari dalam topik ini? Jadi, kita kena kenal dulu secara dasar konsep mekanik kuantum.

Fenomena kuantum amat pelik dan unik. Ia hanya berlaku pada skala yang amat kecil. Katakanlah kucing dalam dunia kuantum. Kucing boleh mempunyai dua kewujudan, sama ada ia hidup ataupun mati. Tapi dalam dunia kuantum pelik sikit, kucing boleh hidup dan mati serentak.

Dalam fizik, fenomena cahaya adalah yang paling popular. Cahaya boleh menjadi dua keadaan saja, sama ada ia bersifat gelombang ataupun bersifat zarah. Ada kejadian hanya dapat dijelaskan apabila cahaya dalam bentuk zarah, ada kejadian hanya dapat dijelaskan apabila cahaya dalam bentuk gelombang. Tetapi di peringkat kuantum, cahaya boleh jadi kedua-duanya sekali serentak sebelum dicerap (observed).

Schrodinger pernah mengusulkan analogi bagi menggambarkan mengarutnya (absurd) dunia kuantum. Kalau kita letakkan kucing dalam sebuah kotak bersama sebotol racun, kita takkan tahu sama ada kucing itu mati ataupun hidup sebab botol racun kebarangkaliannya untuk pecah adalah 50/50.

Jadi, sebelum kotak dibuka, kita takkan tahu keadaan kucing tersebut. Jadi, mengikut teori kuantum, kucing itu berada dalam keadaan superposisi (superposition) iaitu mati dan hidup serentak selagi mana kotak itu tidak dibuka untuk kita cerap.

Apabila kita cerap, keadaan kuantum (quantum state) akan runtuh – maksudnya fenomena kuantum sudah tidak berlaku lagi. Barulah kita tahu sama ada kucing itu berada dalam keadaan hidup ataupun mati. Begitulah juga cahaya. Sebelum dicerap, ia gelombang dan zarah serentak. Selepas dicerap, ia akan jadi salah satu daripada dua keadaan tersebut.

Jadi, apa kaitan dengan dunia pelbagai dalam hal ini?

Akibat dunia kuantum merupakan dunia paling teras dan asas, ramai ahli fizik cuba nak tafsirkan realiti dunia kita berdasarkan dunia kuantum. Hakikat realiti sebenarnya macam mana? Kenapa boleh jadi banyak keadaan dalam satu masa? Jadi, pelbagai tafsiran dibuat oleh ahli fizik berkenaan hakikat realiti. Maka, muncullah pelbagai mazhab dan aliran berkenaan tafsiran dunia kuantum ini.

Mazhab atau tafsiran paling dominan ialah aliran Copenhagen yang dirintis oleh Neils Bohr dan Werner Heisenberg. Aliran ini ditentang oleh Albert Einstein kerana sukar untuk beliau menerima hakikat yang probabilistik.

Salah satu tafsiran tersebut ialah teori kewujudan dunia selari. Tafsiran ini diusulkan oleh Hugh Everett dalam tesis kedoktorannya.

Katakanlah, selepas kita cerap, kucing itu hidup. Itu keadaannya (state). Keadaan kucing yang mati itu telah melahirkan dunia baru. Dengan kata mudah, kita buka kotak, kita tengok kucing itu masih hidup. Jadi, kucing itu tidak mati di dunia kita. Tetapi ia mati di dunia lain. Dunia lain itu terbentuk selepas kita cerap ataupun buka kotak tersebut untuk melihat keadaan kucing tersebut.

Jadi, begitulah idea awal dalam dunia saintifik mengenai dunia selari. Kemudian, di masa-masa mendatang telah banyak teori dunia selari diusulkan.

  1. Ada hipotesis mengusulkan bahawa, dunia selari itu wujud di alam semesta lain. Kita ada alam semesta kita sendiri yang mempunyai keluasan trilion tahun cahaya dan alam ini bertebing. Di luar tebing itu ada alam semesta lain sama seperti alam kita. Mempunyai hukum fizik yang sama tetapi manifestasinya berbeza.
  2. Ada juga hipotesis wujudnya dunia selari tetapi mempunyai pemalaran fizikal berbeza. Contohnya, pemalar Planck bernilai 6.62 × 10^-34, tidak boleh lebih, tidak boleh kurang, kalau tidak, alam ini akan hancur ataupun tidak wujud terus.

Tetapi wujudnya dunia selari lain yang mempunyai pemalar Planck berbeza. Mempunyai pemalar graviti semesta yang berbeza, mempunyai pemalar Boltzmann yang berbeza. Unik gila kan.

  1. Ada juga hipotesis dunia selari itu ialah dunia matematik platonik. Idea ini asal usulnya daripada Plato tetapi dikembangkan oleh Max Tegmark. Hipotesis ini mengusulkan bahawa terdapat dunia matematik sempurna di luar sana yang memberikan pancaran kepada dunia kita. Wujudnya dunia kita kerana dunia matematik tersebut.

Dunia matematik itu lebih sempurna dan dunia fizikal hanyalah bayangan daripada dunia matematik tersebut.

  1. Alam ini terlalu luas dan ada hipotesis menyatakan bahawa alam ini mungkin tidak terbatas (infinity) luasnya. Jadi, dalam jarak yang amat jauh, mungkin wujudnya Bumi seperti Bumi kita dan wujudnya anda di Bumi tersebut. Bumi ini mungkin ada banyak dan anda pun ada banyak!
  2. Ada juga hipotesis kitaran abadi. Mungkin kita pernah hidup sebelum ini. Selepas itu kita mati, alam ini pun mati. Kemudian, berlaku lagi Big Bang, alam lahir semula. Kemudian, kitaran ini berulang lagi dan lagi. Kita mungkin tak pasti berapa banyak kali dah kita hidup dan mati. Konsep dunia selari ini amat pelik juga.

Walaupun konsep dunia pelbagai sangat hipotetikal dan belum dibuktikan pun wujud, disiplin ilmu kuantum adalah disiplin yang praktikal. Banyak teknologi canggih yang kita nikmati pada hari ini dari telefon pintar, komputer riba, televisyen pintar, sel solar, semikonduktor dan pelbagai lagi banyak berasaskan ilmu kuantum.

Konsep dunia pelbagai hanyalah cebisan dan muncul hasil daripada tafsiran terhadap hakikat realiti. Jadi, ini sekadar hipotesis, tidak sampai makam teori pun. Ia juga bukan fokus dan teras utama dalam ilmu kuantum. Tidak perlu ambil serius sangat.

Ilmu kuantum kita ambil serius sebab memang benda yang praktikal dan banyak teknologi lahir daripada ilmu ini.

Kalau minat untuk terokai perkara-perkara sebegini, boleh dapatkan karya saya, Genesis: Kosmologi & Dunia Kuantum melalui pautan berikut:

Bookstore: https://thepatriots.store/store/books/genesis-kosmologi-dan-dunia-kuantum/

Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Genesis-i.238336777.8105952908

Sumber: Facebook Zamir Mohyedin