
AS Sekali Lagi Dakwa, Kali Ini Ada Bukti Besar COVID-19 Berasal Dari Makmal Wuhan
Punca kepada penularan wabak COVID-19 masih menjadi perdebatan dalam kalangan para saintis dunia sehingga mendorong kepada beberapa teori konspirasi dari mana asal virus itu, yang popularnya virus itu berasal dari sebuah makmal di Wuhan.
Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mengulangi kenyataan menyalahkan China sebagai punca penularan pandemik COVID-19 dengan mendakwa ia berasal dari sebuah makmal keselamatan bio di pinggir bandar bermulanya penularan COVID-19.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam wawancara bersama agensi berita ABC berkata pihaknya ada bukti kukuh wabak COVID-19 berasal dari sebuah makmal di Wuhan itu.
“Terdapat bukti signifikan bahawa ia berpunca dari sebuah makmal di Wuhan.
“Pakar-pakar yang handal setakat ini juga berpendapat ia adalah buatan manusia. Saya tiada alasan untuk menolaknya,” kata Pompeo.
Kenyataan itu sekali gus menafikan keputusan komuniti perisikan negara itu yang mengesahkan koronavirus tersebut bukan berasal dari makmal.
“Saya faham kenyataan dikeluarkan komuniti perisikan. Tapi saya rasa mereka salah,” katanya lagi.
Pompeo dalam pada itu turut mendakwa kerajaan China mencatat bekalan perubatan dan menyembunyikan situasi ‘dahsyat’ dihadapi negara itu akibat wabak COVID-19. Ia susulan satu laporan dikeluarkan Jabatan Keselamatan AS menerusi data dikumpul awal tahun ini berhubung barangan eksport dan import China.
“China seperti mengadakan sekatan terhadap eksport bekalan perubatan sejak WHO mengumumkan status virus itu sebagai pandemik berjangkit,” tulis laporan itu.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump yang mengkritik hebat cara China mengendalikan tempoh awal penularan wabak di Wuhan pada hujung tahun lalu, turut mendakwa beliau mempunyai bukti mengaitkan pembabitan makmal itu sejak minggu lalu.
Kumpulan saintis pula percaya virus itu berpunca daripada haiwan dan berpindah kepada manusia berkemungkinan dari pasar eksotik di wilayah terbabit.
Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menolak sepenuhnya dakwaan bahawa virus itu kononnya merupakan hasil buatan makmal.
WHO berkata semua bukti kajian yang ada ketika ini jelas mengatakan bahawa ia berkemungkinan berasal dari haiwan dan tiada bukti yang kukuh mengatakan ia dimanipulasi atau dicipta di makmal atau dari mana-mana tempat yang tidak diketahui.
Tambahnya, sekalipun virus itu merupakan buatan makmal, hasil struktur genomik itu sudah tentu akan menunjukkan sejenis campuran oleh pelbagai elemen.
Sumber: BH
Trending now



