AS Isytihar Sokong Penempatan Haram Israel Di Palestin

AS Halal Penempatan Haram Israel
Sumber: AFP

Amerika Syarikat (AS) pada Isnin (18 Nov) menyokong hak Israel untuk membina penempatan peneroka haram di jajahan Tebing Barat dengan tidak mengendahkan pendirian selama empat dekadnya bahawa perbuatan Israel ‘tidak selari dengan undang-undang antarabangsa,’ menjadikan prospek perjanjian damai Israel-Palestin lebih mencabar.

Pengumuman kontroversi itu dibuat Setiausaha Negara, Mike Pompeo di bawah langkah pro-Israel terbaharu selepas ia memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis pada Mei lalu.

Kenyataan itu meletakkan AS bertentangan dengan hampir semua negara dan resolusi Majlis Keselamatan PBB dan dibuat ketika Benny Gantz berusaha untuk membentuk kerajaan bagi menggantikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, sekutu Presiden Donald Trump.

Menurut Pompeo, keputusan itu kononnya dibuat selepas mengkaji dengan teliti kesemua perdebatan undang-undang yang mana AS telah menyimpulkan bahawa penubuhan penempatan haram Israel di Tebing Barat adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Reaksi dari Benjamin Netanyahu seperti yang dijangka menunjuk keangkuhan regim Zionis yang berkeras kononya penerokaan haram Israel itu bertepatan dengan fakta sejarah.

Saeb Erakat yang mengetuai pihak Palestin menyifatkan tindakan Trump itu umpama mengganti perundangan antarabangsa (International Law) dengan ‘undang-undang hutan’ (Law of the Jungle).

Palestin bertegas, pendirian AS melanggar undang-undang antarabangsa. Masyarakat antarabangsa berpendapat, pemindahan mana-mana orang awam sesebuah negara untuk menduduki penempatan tidak sah mengikut Konvesyen Geneva Keempat 1949 dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

AS Halal Penempatan Haram Israel
Sumber: The Times of Israel

Penganalisis mengkritik tindakan itu mengatakan, ia menjadikan situasi semakin sukar untuk menyelesaikan konflik lebih 70 tahun terbabit.

“Beliau boleh mengisytiharkan malam sebagai siang, namun ia tidak menukar hakikat bahawa penempatan haram Israel bukan hanya tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, namun juga menjadi halangan terbesar kepada perdamaian dan kestabilan rantau ini,” kata Hagit Ofran daripada kumpulan anti-penempatan Peace Now.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata perubahan dasar itu memberi kesan berbahaya terhadap prospek menghidupkan semula rundingan damai dan menyifatkan pembinaan penempatan itu sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa.

Sumber: Berita Harian

 

Trivia terminator.

Trivia Terminator

dan jangan lupa subscribe YouTube ODISI.