Foto IG Vanessa Reynauld

Artis Malaysia Sekali Lagi Terpilih Menghiasi Papan Iklan Digital Gergasi Di Times Square, New York

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Satu lagi pencapaian membanggakan tercipta dalam dunia seni hiburan tanah air apabila seorang lagi wajah artis tempatan terpampang di Times Square, New York.

Wow! Bukan senang nak dapat peluang menghiasi mercu tanda ikon dunia tu. Caya lah!

Artis yang dimaksudkan ialah Naib Juara program realiti, The Masked Singer Malaysia (TMSM) iaitu Vanessa Reynauld, 21, yang berasal dari Klang, Selangor.

Foto IG Vanessa Reynauld
– Foto IG Vanessa Reynauld

Pencapaian ini merupakan sebahagian daripada kempen EQUAL yang dibawakan oleh platform penstriman digital, Spotify.

Sebelum ini, artis lain yang pernah mendapat peluang yang sama ialah Yuna, Layla Sania, Dolla dan Iman Troye.

Ini menjadikan Vanessa sebagai artis tempatan kelima yang diberi peluang untuk berada di papan iklan digital tersohor di New York tersebut.

BACA: Harimau Malaya Di Zoo New York Dijangkiti COVID-19

“Saya terharu menjadi sebahagian daripada kempen itu. Segala penat lelah terbayar dan saya amat berbangga dengan diri sendiri,” ujar Vanessa yang popular dengan lagu Rindu Separuh Nyawa berduet bersama Naqiu.

“Peduli apa orang lain nak cakap pasal kita, yang penting kita focus and achieve apa yang kita nak,” jelasnya dalam satu hantaran melalui akaun Instagram miliknya.

Mesej ‘padu’ tersebut mungkin ditujukan oleh Vanessa kepada golongan pembuli siber yang kerap menyinggung perasaannya selama ini.

“Orang nampak saya selalu tersenyum dan yakin atas pentas, tetapi, sebenarnya ada sisi kehidupan saya yang orang tak tahu.

“Sebenarnya disebabkan rambut, saya sering diejek sehingga sampai satu tahap pernah rasa takut dan trauma ke sekolah.

“Antara kutukan paling teruk pernah diterima apabila ada yang menyamakan saya dengan suku kaum dan etnik tertentu.

“Sehingga kini, saya masih menerima kecaman mengenai penampilan, tetapi, tidaklah seburuk dahulu. Ini kerana saya sudah pandai menyesuaikan gaya rambut dengan gaya,” jelas Vanessa lagi.

Beliau yang pernah menyertai program Ceria Popstar musim ketiga pada 2015 berkata, ahli keluarganya terutama sekali abangnya, Christopher yang menghidap sindrom down, adalah sumber inspirasi dan kekuatannya selama ini.

Vanessa bakal muncul dengan single baharu berjudul Buat Ku Sempurna ciptaan Faizal Tahir bersama Mage pada 28 Januari ini yang didedikasikan untuk abangnya itu.

“Dia adalah cinta hati keluarga kami, meskipun abang tidak sempurna, tetapi Christopher membuatkan saya rasa sempurna pada matanya”.

Tahniah Vanessa!

BACA: Lantang Bersuara Dan Ikut Protes Di New York, Israel Anggap Bella Hadid Memalukan

Sumber: BH Online, IG Vanessa Reynauld