
Aplikasi Zoom Kini Tidak Selamat? Ramai Mula Nyahpasang Khuatir Rakaman Terdedah
Aplikasi persidangan video Zoom telah menyaksikan lonjakan populariti terutama di Amerika Syarikat serta negara lain termasuk Malaysia berikutan langkah sekatan pergerakan akibat COVID-19, sekali gus menyebabkan banyak sesi kelas dan mesyuarat dilakukan secara dalam talian.
Dalam tiga bulan sejak wabak pandemik COVID-19 melanda dunia, penggunaan Zoom meningkat berganda-ganda disebabkan penggunaan masyarakat dunia yang semakin tinggi.
Bagaimanapun, baru-baru ini aplikasi berkenaan didakwa mendedahkan data peribadi pengguna dan berhadapan dengan isu keselamatan. Beribu-ribu rakaman sesi persidangan video dalam talian pengguna perkhidmatan Zoom, termasuk membabitkan sesi bersifat peribadi dan mesyuarat perniagaan, dikatakan terdedah di laman web terbuka.
The Washington Post melaporkan, pemerhatian mereka turut mendapati rakaman persidangan yang mendedahkan rekod kewangan sulit serta kelas dalam talian dapat disaksikan oleh pengguna internet tanpa sekatan.
Terdapat juga rakaman video membabitkan peserta tidak berpakaian, termasuk sesi pakar kecantikan mengajar pelajar cara untuk melakukan ‘Brazilian wax’.

Laporan itu menyebut, sesi video Zoom tidak dirakam secara default tetapi pemanggil (host) boleh memilih untuk merakam dan menyimpannya di dalam pelayan Zoom atau komputer sendiri tanpa memerlukan kebenaran peserta persidangan yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan, dilaporkan mengakui perkhidmatan itu kini digunakan jauh lebih luas daripada yang pernah dibayangkan ketika beliau mengasaskan syarikat itu pada tahun 2011.
“Kami tidak mereka bentuk produk ini dengan pandangan jauh bahawa, dalam masa beberapa minggu sahaja, setiap orang di dunia tiba-tiba akan bekerja, belajar, dan bersosial dari rumah,” katanya.
Yuan juga memohon maaf kerana Zoom gagal mempertahankan ‘kehendak privasi dan keselamatan’ pengguna dan berkata syarikat itu akan membekukan pengenalan ciri-ciri baru selama 90 hari sebaliknya mengarahkan jurutera mereka untuk menangani masalah keselamatan dengan segera.
Saham Zoom kini jatuh 8 peratus pada Isnin, menambah penurunan mendadak dalam beberap hari sejak aplikasi persidangan video itu didakwa telah mendedahkan data pengguna.
Beberapa syarikat besar seperti SpaceX yang pada awalnya menggunakan aplikasi Zoom mula nyahpasang aplikasi terbabit. Difahamkan, syarikat Telekom Malaysia juga menasihatkan para pekerjanya yang bekerja dari rumah agar tidak menggunanakan aplikasi Zoom dan GoToMeeting sebagai aplikasi mensyuarat dalam talian.
