
Aplikasi Muslim Pro Dilapor Jual Data Pengguna Kepada Tentera Amerika Syarikat
Muslim Pro, aplikasi popular waktu solat dan doa harian Muslim dengan 100 juta pengguna dilaporkan menjual data lokasi pengguna kepada tentera Amerika Syarikat (AS).
Menurut Motherboard VICE, tentera AS membeli data pergerakan pengguna seluruh dunia daripada aplikasi yang dilihat tidak berbahaya.
Selain aplikasi Muslim Pro, aplikasi Muslim Mingle, CPlus for Craigslist Accupedo dan Global Storms juga berjaya dibeli tentera AS. Pembelian data oleh tentera AS dari pelbagai aplikasi itu difahamkan bagi tujuan menentang keganasan.
BACA: Syarikat China Berkaitan Tentera Dilapor Simpan Data 1,400 Rakyat Malaysia
Ia dilihat amat merisaukan kerana pembelian data itu kebanyakannya menjejak data lokasi pengguna masyarakat Muslim.
Memetik daripada sumber yang sama, data dibeli menerusi X-Mode dan Locate-X yang menerima data yang dijual pembangun pelbagai aplikasi peranti pintar.
Jurucakap Komando Operasi Khas A.S, Navy Cmdr Tim Hawkin mengesahkan data dibeli bagi membantu keperluan operasi khas pihak tentera di luar negara.
Katanya, prosedur serta polisi menjaga privasi, hak asasi dan undang-undang rakyat Amerika Syarikat akan dihormati selepas data dibeli.
Walau bagaimanapun, sehinga kini pihak Muslim Pro, Locate X dan X Mode masih belum mengeluarkan sebarang komen mengenai penjualan data pengguna kepada pihak tentera.
Muslim Pro mempunyai pemilik bersama syarikat di Malaysia iaitu Bintang Capital Partners (BCP) di bawah Affin Hwang Asset Management Bhd. Mereka mempunyai anak syarikat Muslim Pro Technologies Sdn Bhd.
Berikut merupakan cadangan aplikasi waktu solat, kiblat dan doa harian jika selepas ini anda mahu nyahpasang Muslim Pro.
1. mySolat (disediakan oleh JAKIM)
2. Iman pro
Aplikasi terbaik bagi penentuan waktu solat serta penentuan arah kiblat, lokasi makanan halal, tasbih dan lain-lain.
3. Waktu Solat Malaysia
4. Iman App
Aplikasi yang dibangunkan rakyat tempatan, memiliki fungsi waktu solat, arak kiblat, mathurat, masjid dan lain-lain.
Sumber: Business Insider