
“Apabila Terjadi Sebegini, Ia Seperti Sedang Melihat Sebuah Cerita Seram”
Meskipun Jerman berjaya menundukkan Costa Rica 4-2, akhirnya juara dunia empat kali tersebut terpaksa akur kerana tersingkir awal dari Piala Dunia FIFA 2022 kali ini.
Penyerang Jerman, Kai Havertz yang menjaringkan dua gol pada babak kedua selepas dimasukkan dari bangku simpanan menganggap penyingkiran mereka dari Piala Dunia tersebut bagaikan ‘melihat filem seram’.
Ini disebabkan pasukannya itu terpaksa menyedari nasib malang mereka apabila melihat keputusan perlawanan antara Jepun dan Sepanyol yang dipaparkan di stadium.
“Apabila terjadi sebegini, ia seperti sedang melihat sebuah cerita seram.
“Kami mengetahui ketika berada dalam perlawanan yang Jepun mendahului, kemudian ranking pula dipaparkan di stadium,” jelas Havertz.
Jepun melakukan kejutan apabila berjaya mencipta kemenangan ke atas Sepanyol 2-1, sekali gus menyaksikan pasukan Blue Samurai tersebut berada di puncak carta kumpulan.
Ini menyebabkan Sepanyol berjaya mara berbanding Jerman kerana perbezaan jumlah jaringan.
“Kami masih mempunyai sedikit harapan yang Sepanyol akan menjaringkan gol. Namun kemudian, kami sedar yang perlawanan Jepun sudah pun tamat,” tambahnya lagi yang menganggap cara mereka mengetahui mengenai keputusan tersingkir tersebut sebagai satu detik yang menambah lagi rasa derita.
“Apabila kamu keluar dua kali di pusingan pertama dan sekali di pusingan 16 terbaik, ia sangat mengecewakan. Kami perlu jujur dan berkata yang selama empat tahun, semuanya tidak berlangsung dengan baik.
“Sekarang kami sudah tersingkir dua kali di pusingan kumpulan. Saya tidak fikir yang kami adalah sebuah pasukan pilihan lagi,” kesal Havertz.
Havertz turut menyalahkan prestasi pasukannya ketika menentang Jepun sebagai antara penyebab utama mereka tersingkir.
BACA: “Pergi Balik!” – Media Israel Terima Layanan ‘Dingin’ Di Qatar
Sumber: Berita Harian
Trending now



