
Apabila Keanu Reeves Jadi Bapa …Tonton Trailer ‘Bill & Ted Face The Music’
Tonton Trailer ‘Bill & Ted Face The Music.
Hampir tiga bulan kita terpaksa menonton ‘layar kecil’ di rumah dengan rancangan dan filem lama yang disiar berulang kali baik menerusi siaran televisyen digital percuma, mahupun stesen televisyen berbayar.
Selepas kelonggaran diberikan oleh kerajaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kita boleh melakukan kembali aktiviti menonton di pawagam.
Beberapa filem antarabangsa yang dijadualkan untuk dilancarkan di pawagam pada tahun ini ada yang diteruskan dan ada juga ditunda.
Bagi peminat Keanu Reeves pasti dapat mengubat kembali kekecewaan kerana beliau akan muncul dalam filem Bill & Ted Face the Music.
Tetapi kali ini sedikit berbeza kerana biasanya kita melihat lakonan Keanu Reeves yang agak serius, namum dalam filem ini menonjolkan sisi berbeza kepada karakternya.
Bill & Ted Face the Music berkisar tentang Bill S. Preston (Winter) and Ted Theodore Logan (Reeves), yang kini menjadi bapa, tetapi masih belum memenuhi takdir rock ‘n’ roll mereka. Kehidupan mereka berubah apabila mereka dikunjungi seorang utusan dari masa hadapan yang memberi amaran kepada mereka bahawa hanya lagu mereka yang dapat menyelamatkan dunia.
Filem Bill & Ted the Music ini merupakan filem sekuel kepada Bill & Ted’s Excellent Adventure (1989) dan Bill & Ted’s Bogus Journey (1991) yang mana mereka berdua jugalah membintangi siri filem ini.
Filem ini turut dibarisi pelakon seperti Samara Weaving (Ready or Not) dan Brigette Lundy-Paine (Atypical) masing-masing sebagai anak perempuan Bill dan Ted.
Bill & Ted Face the Music bakal menemui penonton pada 27 Ogos 2020. Tonton trailernya di sini dahulu.