
“Apa Salah Kami?” – Kenapa Ramai Wanita ‘Reject’ Lelaki Kelantan Selepas Tahu Asal Mereka?
“Kenapa ramai wanita tak suka budak Kelantan? Baru aku nak ajak berkawan, dengan berlagak dia kata, ‘Maaf saya tak minat lelaki Kelantan’, apa salah kami?,” demikian luahan seorang pengguna Facebook yang bernama Syafiq dalam satu artikel yang diterbitkan di KOSMO! ONLINE.
Dalam tinjauan yang dibuat oleh akhbar tersebut, rata-rata golongan lelaki yang berasal dari negeri Kelantan meluahkan rasa kecewa dan musykil kenapa ramai wanita sering mengelak jika diajak berkenalan setelah mengetahui status negeri dan asal usul mereka.
Hantaran-hantaran yang dimuat naik oleh golongan lelaki dari Pantai Timur itu juga sering mempersoalkan tindakan segelintir wanita yang berasal dari negeri lain yang bersikap seolah-olah ‘anti-budak Kelantan’.
Entah kenapa, ramai turut hairan kerana meskipun tanpa sebarang alasan munasabah, golongan wanita pada hari ini dilihat cuba menjauhkan diri dari mereka.
Namun menurut seorang lagi lelaki dari Kelantan, Mohd Khairul, terdapat beberapa alasan yang sering diberikan oleh golongan wanita ketika cuba mengelak untuk menjalinkan hubungan dengannya.
“Awak asal Kelantan? Maaf la, saya dah ada teman lelaki; saya tak faham bahasa awak, pelik sangat bunyinya; lelaki Kelantan ramai ‘buaya’,” jelas Khairul.
Di ruangan komen, beberapa pengguna Facebook yang turut berasal dari Kelantan turut mengakui mereka sering terasa dipinggirkan oleh kebanyakan wanita disebabkan oleh dialek dan status negeri.
Salah satu dari komen tersebut ditulis oleh Syahmie yang menyifatkan kaum perempuan sebagai kaum yang pelik.
“Bila kami sembang dengan kawan-kawan Kelantan, mereka (wanita negeri lain) kata kami berpuak, bila kami nak kenal dan ajak berkawan, mereka tak nak dan tak suka pula, wanita memang pelik”, tulisnya.
BACA: ‘Kenapa Saya Tinggalkan Kelantan?’ – Lelaki Ini Dedah Kenapa Dia Bawa Diri Dan Keluarga Ke Shah Alam
Sumber: KOSMO! ONLINE
Trending now



