
Apa Sahaja Demi Bahagia Ayah, Lelaki Sanggup Bawa Bapa Jalan-Jalan Dalam Raga Motosikal
Apa sahaja demi bahagia ayah, seorang lelaki sanggup melayan ayahnya bersiar-siar di kawasan kampung dengan membawanya menaiki motosikal.
Menurut sumber Harian Metro, pemuda yang dikenali sebagai Mohd Farhan, 29 tahun sanggup membawa ayahnya, Ab Hamid Mat Husin, 63 tahun, penghidap angin ahmar sejak tujuh tahun lalu dibawa di dalam raga motosikal ke kedai makan dan bersiar-siar demi membahagiakan hati orang tuanya itu.
Sudah menjaga ayahnya sejak lima tahun lalu, adalah menjadi rutin membawa ayahnya keluar bersiar-siar sebanyak tiga kali seminggu. Sebelum ini, ayahnya tinggal bersama adik-beradik Farhan yang lain, namun pada 2015, ayahnya meminta untuk tinggal di rumahnya dan sepanjang tempoh itu Farhan melayan segala kehendaknya.
Gambar Farhan membawa ayahnya yang duduk di kawasan raga motosikal menjadi tular di laman media sosial. Rata-rata netizen memuji kecekalan anak kelima daripada enam beradik yang sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan ayahnya.

Walaupun mempunyai kereta, kenderaan tersebut hanya digunakan untuk membawa ayahnya ke hospital sahaja dua kali setiap bulan memandangkan keadaan ekonomi mereka yang tidak seberapa.
Kata Farhan,
“Maklumlah ayah sakit terlantar dan berasa bosan sekiranya hanya berkurung di dalam rumah. Jadi, saya saya membawa ayah ke kedai makan dan bersiar-siar dengan menaiki motosikal.”
Bersyukur dkurniakan isteri dan anak yang memahami dan sentiasa menyokong tanggungjawab beliau menjaga ayahnya, kadangkala Farhan memberitahu beliau tiada masa untuk mereka kerana sibuk menguruskan ayah.
Menganggap ayahnya sebagai nyawa dan kebahagiannya, susah bagaimana sekalipun Farhan tetap akan menjalankan tanggungjawab sebagai anak sebaik mungkin.
Bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,100 sebulan, Farhan akui ianya tidak mencukupi untuk menampung segala kos yang diperlukan ayahnya – kos untuk lampin pakai buang sahaja memerlukan sekitar RM200 sebulan.
Namun kata Farhan yang menetap di Kampung Gong Pak Jin, Tepoh, Kuala Nerus, rezeki itu sentiasa ada berkat menjaga ayahnya sama ada melalui sumbangan orang ramai mahu pun pihak masjid.