
Animasi Popular Dunia Ini Sebenarnya Hasil Tangan Anak Malaysia?
Tahukah anda sebenarnya animasi popular Dragon Ball adalah buatan Malaysia?
Pendedahan yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook di FB Group Malaysiaku Dulu-Dulu, Nahar Fadzil ini nyata mengejutkan ramai.
Akhir 1980-an, beliau pernah ditugaskan sebagai pelukis dan inker di Lensamation Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada Lensa Film Sdn Bhd yang telah menerima kontrak daripada Toei Doga Animation (TDA) dari Jepun untuk menghasilkan anime.

Kemudiannya seramai enam orang artis dipilih untuk menjalani latihan di bawah TDA sebelum lima orang pakar animasi dari Jepun datang ke Malaysia untuk melatih 70 orang artis animasi tempatan dalam tempoh masa dua tahun.

Walau bagaimanapun apabila beliau menceritakan kepada anaknya bahawa beliau merupakan salah seorang yang terlibat dalam pembikinan anime Dragon Ball, anaknya tidak percaya.
Mendapat banyak ‘tabik hormat’ di bahagian komen, ada yang memberi pendapat sebenarnya ramai sahaja anak Malaysia yang berkebolehan untuk menghasilkan animasi yang hebat namun terpaksa berdepan dengan beberapa limitasi terutamanya daripada segi kewangan.
Tahun lepas menyaksikan kebangkitan industri animasi negara setaraf antarabangsa sehingga maju dan dikenali oleh negara luar dan membuktikan bahawa kualiti animasi tempatan kita hampir setara dengan filem animasi antarabangsa.
Ditambah pula dengan peruntukan dana sebanyak RM20 juta yang diberikan kerajaan untuk penggiat industri animasi tempatan bagi merancakkan lagi industri ini – memupuk bakat tempatan dalam melonjakkan produksi dan kandungan digital animasi.