
Animasi ‘Grave Of The Fireflies’ – Kisah Menyayat Hati Dua Adik Beradik Ketika Perang Dunia II
Animasi ‘Grave Of The Fireflies’ – Kisah Menyayat Hati Dua Adik Beradik Ketika Perang Dunia II.
Bukanlah kali pertama Industri filem Jepun menghasilkan karya mengenai sesuatu tragedi sehingga menyentuh perasaan penonton.
Walaupun sesebuah filem itu sudah lama ditayangkan, namun sehingga kini ia masih diklasifikasikan sebagai sebuah karya agung.
Salah satunya adalah filem animasi ‘Grave of the Fireflies’, hasil karya Isao Takahata, seorang pengarah yang bekerjasama dengan Hayao Miyazaki digelar Grandmaster dalam dunia animasi Jepun (anime), di dalam satu studio yang sama iaitu Studio Ghibli.
‘Grave of the Fireflies’ (Hotaru no Haka) merupakan sebuah filem animasi yang ditayangkan pada tahun 1988.
Walaupun ia sudah dikategori sebagai filem animasi klasik, namun karya ini masih mampu meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada para penonton.
Bagi yang belum pernah menontonnya, animasi ini mengisahkan tentang kehidupan menyayat hati dua beradik yatim piatu yang menjadi mangsa Perang Dunia Kedua.
Plot ceritanya memfokuskan seorang remaja lelaki bernama Seita bersama adik perempuannya Setsuko yang kehilangan ibu dan bapa mereka serta rumah mereka yang musnah selepas dibom.
Filem ini menterjemahkan tentang peritnya seorang abang perlu meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan sumber makanan, sambil menjaga adik perempuannya yang masih kecil.
Pada awalnya, dua adik beradik ini berteduh di rumah ibu saudara mereka. Namun sikap ibu saudaranya yang menganggap mereka sebagai parasit memaksa mereka keluar dan hidup berdikari di dalam sebuah gua.
Bagaimanapun, kehidupan mereka di gua tidaklah selamanya aman apabila si adik mula jatuh sakit akibat kelaparan serta kekurangan nutrisi.
Walaupun si abang berusaha memulihkan adiknya namun tidak dapat diselamatkan. Seita kebumikan Setsuko di kawasan gua tersebut hanya dengan memasukkan mayat adik beradiknya ke dalam kotak lalu membakar mayat adiknya.
Dalam filem ini, ia banyak menceritakan tentang penderitaan masyarakat Jepun ketika perang berlaku dan tempiasnya adalah pada golongan muda serta kanak-kanak.
Malah, telah memaksa penonton memahami tentang peritnya situasi selepas peperangan yang terpaksa dihadapi oleh mangsa.
Berdasarkan kisah benar penulis
Filem animasi ini merupakan adaptasi cerpen daripada kisah benar Akiyuki Nosaka, seorang penulis novel ketika dia berhadapan dalam situasi perang dunia kedua.
Nosaka kehilangan dua adik perempuannya kerana kekurangan zat makanan. Dia dilaporkan menghabiskan sisa hidupnya bergelut dengan rasa bersalah atas kematian mereka.
Sumber: The Culture Trip, Axello