Ganjaran Monyet Biawak Dipanah

Animal Malaysia Tawar Ganjaran RM5,000 Kepada Saksi Kes Monyet, Biawak Mati Dipanah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ganjaran RM5,000 Kepada Saksi Kes Monyet, Biawak Mati Dipanah.

Tidak pernah surut isu dan insiden kekejaman manusia terhadap haiwan yang tidak berdosa. Ya, terhadap insan pun sesetengah golongan bersikap tiada berperikemanusiaan, apatah lagi kepada haiwan.

Bukan sahaja tular kes individu tak bertanggungjawab membuang haiwan peliharaannya di tepi jalan kerana tidak mampu lagi untuk dijaga.

Malah, tular juga insiden di media sosial video seekor monyet cedera dengan keadaan panah tertusuk di bahagian ekornya dan biawak yang mati selepas disyaki dipanah oleh individu yang tak berperikemanusiaan.

Difahamkan, kejadian kejam tersebut dikatakan berlaku di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur yang mana video seekor monyet kelihatan sengsara selepas busur panah tertusuk di ekornya dan monyet tidak mati malah berlegar menahan sakit. Manakala seekor lagi monyet dipanah mati.

Tindakan kejam itu menyebabkan masyarakat mendesak persatuan campur tangan bagi mengheret pelaku ke muka pengadilan. Susulan itu, Animal Malaysia sanggup menawarkan ganjaran buat mereka yang membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya pesalah terbabit.

Ganjaran Monyet Biawak Dipanah
Sumber: FB

Kenyataan menyebut, tawaran tersebut dibuka kepada umum termasuk rakan pemanah dengan jaminan maklumat pengadu dirahsiakan.

“Mohon rakan pemanah kirimkan rakaman video, gambar dan maklumat diri pemanah ganas ini ke Hotline Whatsapp Animal Malaysia +601120901097.” tulis kenyataan itu.

https://www.instagram.com/p/CERFoOmDUpf/?utm_source=ig_embed

Polis buru pihak bertanggungjawab panah monyet, biawak

Sementara itu, polis memandang serius dengan perkara yang berlaku dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes penganiayaan haiwan tersebut untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, laporan dibuat kakitangan Jabatan Landskap Negara yang mendakwa menerima video dan tangkap layar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang jika disabitkan kesalahan akan membawa hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.

Semoga pesalah mendapat hukuman sewajarnya.

Sumber: Awani