Anggota Tentera Meninggal Dunia Selepas Jatuh Bangunan Dipercayai Dibuli

Anggota Tentera Meninggal Terjun Bangunan
Sumber: FB

Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) meninggal dunia dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat pada 29 Ogos lalu.

Mangsa, Abdul Aziz Aznam, 20, menghembus nafas terakhir pada pukul 2.30 petang semalam ketika mendapat rawatan di di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nora Ismail di sini akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Muhammad Izzudin Rungai, berkata sembilan hari lalu mangsa dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman Kem Majidee.

Difahamkan, anggota tentera berpangkat prebet berasal daripada Bandar Baru Putra, Ipoh, Perak itu bertindak membunuh diri selepas tidak tahan menjadi mangsa buli di kem terbabit.

Menurut perkongsian laman sosial Facebook milik Adin Rashid, Abdul Aziz dilaporkan tidak hadir bertugas sejak enam bulan lalu sebelum diarahkan lapor diri ke kem tersebut pada 28 Ogos lalu.

“Sehari selepas itu kira-kira pukul 3 pagi Abdul Aziz dimasukan ke HSNI dalam keadaan koma dan cedera parah akibat jatuh daripada bangunan tingkat tiga kem itu kira-kira pukul 12 tengah malam.

“Hari ini (6 September) kira-kira 2.30 petang kami menerima berita daripada ahli keluarga beliau, arwah pergi meninggalkan kami.

“Kami sahabat beliau dan keluarga harap pihak berkuasa yang berwajib dapat menyiasat kes ini dengan seadil-adilnya tanpa kompromi dengan mana-mana pihak,” katanya.

Anggota Tentera Meninggal Terjun Bangunan

Polis siasat dakwaan anggota tentera maut dipercayai dibuli dan didera

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Superintendan Muhammad Izzudin Rungai berkata, bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mendapatkan punca kematian mangsa.

Siasatan diteruskan daripada semua aspek untuk mengenal pasti punca kematian mangsa. Ia juga bagi mendapatkan kesahihan dakwaan anggota keluarga yang memaklumkan mangsa berkemungkinan dibuli dan didera ketika di dalam kem sebelum kejadian.