Datuk Lee Chong Wei

“Anggaplah Dia Sebiji Epal Busuk, Kawan-Kawan” – Datuk Lee Chong Wei

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Datuk Lee Chong Wei dilaporkan kesal dengan kenyataan rasis yang dibuat baru-baru ini oleh bekas pemain pelapis badminton negara, Bong Guang Yik.

Menurut laporan Faida Rahim dari astro AWANI, legenda badminton perseorangan lelaki negara itu telah membuat satu hantaran di akaun Facebook rasminya bagi mengulas isu tersebut.

Antara lain Chong Wei turut menegaskan bahawa mana-mana pihak sepatutnya tidak menghancurkan keharmonian rakyat Malaysia yang erat terjalin hanya semata-mata untuk dikenali ramai.

“Jangan sesekali demi mengejar nak terkenal, sanggup menghancurkan keharmonian rakyat yang erat. Bukan dibina sehari dua, tetapi berdekad-dekad.

“Anggaplah dia sebiji epal busuk, kawan-kawan,” tegur Chong Wei yang jelas kecewa.

Datuk Lee Chong Wei

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana memberi respon pantas dengan mengecam keras kenyataan bersifat rasis tersebut.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” jelas Hannah.

Hannah turut mengulangi pendiriannya bahawa bidang sukan harus bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

Bong Guang Yik yang kini menetap di China sebelum ini dalam satu klip video yang tular telah mendakwa, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menunjukkan kemajuan kerana dikuasai oleh kaum Melayu dengan amalan yang berat sebelah.

Menurutnya, semua sumber BAM telah disalurkan kepada Datuk Lee Chong Wei sewaktu jaguh badminton negara itu berada di puncak karier, sehingga melupakan usaha untuk membangunkan generasi pemain pelapis badminton yang lain.

Ibadah solat lima waktu oleh pegawai dan petugas juga dikatakannya menjadi salah satu punca kelemahan pengurusan tertinggi BAM kerana tidak memberi tumpuan penuh pada aspek latihan pemain.

Datuk Lee Chong Wei

BACA: Datuk Lee Chong Wei Diberi Penghormatan Miliki Patung Lilin Di Hong Kong

Sumber: astro AWANI