
Anggap Diri Tuan, Orang Melayu Malas Kerja – Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir memang terkenal dengan kritikannya terhadap bangsa Melayu sejak dahulu lagi.
Dalam catatan terbaharu di blog peribadi beliau, chedet.cc, Dr Mahatir meluahkan kekecewaannya terhadap sikap orang Melayu yang masih mengganggap diri mereka tuan di negara ini walaupun hakikatnya mereka tidak mahu memperbaiki nasib mereka sendiri.
“Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, tuankah,” soal Mahathir.
Tambah Dr Mahathir, orang Melayu yang mengamalkan sikap hanya cukup ‘makan gaji’ dan tidak mahu bekerja bersungguh-sungguh, akhirnya menjadikan negara didiami mereka kini dipenuhi warga asing yang mengambil peluang mencari pendapatan di sini.

Dr Mahathir juga berkongsi pendapatnya di akaun rasmi Twitter dengan menceritakan sejarah dahulu bagaimana orang Melayu memilih ‘makan gaji’ dan mengusahakan ladang pertanian kecil serta menjadi nelayan dan tidak ramai berniaga atau bekerja buruh kasar. Kesan daripada sikap itu, tidak ramai orang Melayu yang tinggal di bandar mengusahakan perniagaan.
“Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah ditakdir. Tak perlu buat apa-apa.
“Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja,” tulis beliau.
TAK BEKERJA
1. Semasa saya berumur belasan tahun, saya dapat perhatikan keadaan di Alor Star. Masa itu Negeri-Negeri Melayu sedang dijajah oleh British. Negeri-Negeri Melayu terima baik penjajahan British.
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) September 6, 2019
Ini menunjukkan apa yang berlaku terhadap bangsa Melayu sebelum ini akan terus terjadi kerana orang Melayu tidak mahu berubah dan terus ketinggalan. Dr Mahathir menyatakan nasib bangsa Melayu di tangan mereka, memarahi orang lain tidak akan menyelesaikan masalah bangsa sendiri.