
Ancam Institusi Islam Dan Gugat Mahkamah Syariah, Petisyen Bantah BSD Kini Telah Dimulakan
Bantahan terhadap Doktrin Struktur Asas atau Basic Structure Doctrine (BSD) semakin memuncak apabila media arus perdana kini telah mula membuat liputan mengenainya.
Malah, gabungan NGO juga telah mula ditubuhkan dan petisyen turut dimulakan bagi membawa isu ini ke pengetahuan masyarakat di change.org.
Antara sebab BSD dianggap sangat merbahaya adalah kerana ianya mampu menggugat bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah berkenaan perkara-perkara berkaitan agama Islam yang kini boleh dicabar dengan mudah melalui Mahkamah Sivil.
Berikut adalah ulasan ringkas yang ditulis oleh peguam Yusfarizal Yussoff di Facebooknya bagi memberi sedikit kefahaman kepada orang ramai mengenai BSD.
“DOCTRINE BASIC STRUCTURE” (DBS) BOLEH MENGGUGAT KEDUDUKAN MAHKAMAH SYARIAH
——————————
SIAR RAYA
Petisyen bantahan telah dimulakan. Mohon sokongan sahabat-sahabat untuk sama-sama turut serta dalam kerja amal ini dengan menandatangani petisyen di pautan berikut:-
Pohon dibaca ulasan ringkas dibawah sebelum tandatangan. Kita perlu sama-sama faham.
——————————-
ULASAN RINGKAS
Bidangkuasa Mahkamah Syariah diperkasa selaras pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988. Pindaan ini dibuat oleh Parlimen lantaran jerik perih Allahyarham Tan Sri Prof Emeritus Dr Ahmad bin Ibrahim untuk menyelesaikan isu bidangkuasa Mahkamah Syariah yang sering dicampuri oleh Mahkamah Sivil.
Perkara 121(1A) menyebut:-
“(1A) Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1)(Mahkamah Tinggi) TIDAKLAH MEMPUNYAI BIDANGKUASA berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah”
Lama dahulu sebelum kolonial menjejak kaki, hukum Islam dan sistem kehakiman Islam diamalkan meluas di Tanah Melayu. “The Mohammedan law is not a foreign but local law, that it is the law of the land” (Ramah v Laton (1927) 6 FMSLR (CA))
Begitu bagaimana Mahkamah British sendiri mengiktiraf kedudukan sistem kehakiman Islam di Tanah Melayu. Namun, sistem kehakiman Islam itu terus-terusan dicabar.
Walaupun setelah Perkara 121(1A) dimasukkan, cabaran-cabaran ini tetap diteruskan. Namun, ia dilakukan secara sistematik dengan cara litigasi berstrategik (strategic litigation). Ia bermaksud cabaran dibuat berdikit-dikit, satu persatu bermula dari isu kecil sehingga ke isu besar.
Agar kita leka dan tidak perasan.
Cabaran Peringkat Pertama
Cabaran dimulakan diperingkat pertama dengan mencabar tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan pihak berkuasa berkaitan isu agama.
1️) Keputusan pengislaman dan pendaftaran mualaf seringkali dicabar di Mahkamah Sivil seperti kes Soon Singh (1992), Siti Hasnah Vengarama (2014) dan sebagainya.
2️) Keputusan JPN tentang status Islam dalam kad pengenalan dicabar dalam kes Lina Joy (2007). Keputusan pendakwa syarie dicabar dalam kes Nik Raina (2015).
3) Keputusan Mahkamah Syariah tentang hak jagaan anak dicabar semula di Mahkamah Sivil dalam kes Subashini (2008).
4️) Begitu juga keputusan Kementerian Dalam Negeri tentang penggunaan kalimah Allah dicabar dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop (2014) dan Jill Ireland (2015).
Semua ini adalah cabaran-cabaran tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu agama Islam melalui SEMAKAN KEHAKIMAN kebanyakannya.
Cabaran Peringkat Kedua
Langkah kedua yang lebih maju ialah cabaran terhadap Undang-Undang berkenaan hukum syarak pula. Di peringkat ini, undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri tentang Senarai Negeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dicabar di Mahkamah Sivil.
1️) Dalam kes Sulaiman Takrib (Ayah Pin)(2009), Seksyen 10 Enakmen Terengganu tentang perlanggaran fatwa dicabar sebagai tidak sah kerana melanggar Perlembagaan.
2️) Dalam kes Juzaili (2015), Seksyen 66 Enakmen Negeri Sembilan tentang pemakaian silang (cross dress) dicabar sebagai tidak sah.
Walaupun cabaran-cabaran sebegini dibuat sekitar 1992 – 2015, kita melihat Mahkamah rata-ratanya masih memutuskan dengan jelas bahawa kesemua perkara-perkara ini masih berada dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah menurut Perkara 121(1A)(kecuali kes Kalimah Allah). Mahkamah ketika tahun-tahun ini masih mempertahankan kedudukan Mahkamah Syariah.
Arah aliran (trend) terkini
1️) Pada tahun 2018, dalam kes Indira Gandhi Mutho, cabaran dibuat terhadap Jabatan Agama Islam Perak dan Pendaftar Muallaf tentang pengislaman 3 kanak-kanak. Mahkamah Persekutuan melalui 5 orang Hakim memutuskan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk menyemak tindakan pendaftaran keislaman 3 kanak-kanak tersebut, dan bukan Mahkamah Syariah.
2️) Dalam kes Iki Putra (2021) pula, Seksyen 28 Enakmen Selangor tentang kesalahan liwat pula dicabar, dan Mahkamah Persekutuan memutuskan seksyen ini tidak sah kerana kesalahan liwat adalah jenayah yang berada dibawah kuasa Parlimen untuk digubal, bukan DUN. Bukan Mahkamah Syariah walaupun ia adalah kesalahan jenayah syariah.
3️) Yang terbaru, dalam kes Sisters In Islam, Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor dicabar di Mahkamah Persekutuan. Seksyen ini memberikan kuasa SEMAKAN KEHAKIMAN kepada Mahkamah Syariah untuk menyemak keputusan dan tindakan pihak berkuasa agama termasuk fatwa. Ia diisytihar oleh Mahkamah Persekutuan dengan kekuatan 9 orang hakim, sebagai tidak sah kerana “kuasa Semakan Kehakiman” adalah kuasa Mahkamah Sivil semata-mata berdasarkan “doctrine basic structure” dan TIDAK BOLEH DIBERIKAN kepada mana-mana pihak termasuk Mahkamah Syariah.
Ia sekaligus seolah-olah meletakkan Mahkamah Syariah sebagai rendahan daripada Mahkamah Sivil selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi (2018) yang menyebut:-
“As has been illustrated, civil and Syariah courts are distinct in nature and status: the former established under the Federal Constitution and vested with inherent judicial powers; whereas the latter are creatures of State legislation under the State List, and akin to INFERIOR TRIBUNALS (Tribunal rendahan)”
(Terjemahan ditambah)
Saudara,
Peringkat seterusnya cabaran-cabaran ini boleh jadi pelbagai. Tidak mustahil, setelah meletakkan Mahkamah Syariah sebagai tribunal rendahan, Artikel 121(1A) tersebut sendiri akan dicabar atas dasar “doctrine basic structure”.
Doctrine Basic Structure
“Doctrine Basic Structure” ini bermaksud, walau apapun undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau DUN termasuk pindaan Perlembagaan, ia boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil sekiranya ia bertentangan dengan “basic structure” Perlembagaan. Takrif “basic structure” ini pula terpulang kepada Mahkamah yang banyak memandang kepada contoh luar seperti India dan Canada.
Contoh yang saya berikan tadi tentang kuasa Semakan Kehakiman yang tidak boleh diberikan kepada Mahkamah Syariah adalah salah satu “basic structure” yang diisytihar Mahkamah. Ia tidak terhad disitu.
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi. Ia tidak dipertikaikan. Ia mengandungi asas pembentukan negara seperti institusi raja-raja, kedudukan bumiputera dan Bahasa Melayu, kedudukan Islam, dan juga hak-hak asasi yang termaktub mengikut acuan kita.
Mengimport “doctrine basic structure” yang terlalu mencapah dan tidak terikat kepada perkataan tersurat Perlembagaan Persekutuan adalah sangat berbahaya. Sebab itu kita perlu membantah aplikasi “doctrine basic structure” cedokan luar ini yang tidak terkawal.
Ya, sekiranya Parlimen menggubal undang-undang yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja atau perkara asas lain yang termaktub, ia boleh dicabar. Tetapi bukan dengan cara yang berlaku sekarang.
Kerana ia bukan sahaja mengancam doktrin pengasingan kuasa dan seolah-olah menuju ke arah “judicial supremacy”, tetapi ia nampaknya semakin mengancam Perkara 121(1A) yang kita perjuangkan selama ini.
Wallahu’alam.
YUSFARIZAL YUSSOFF
#bantahdoktrinbasicstructure
BACA: Kisah Lelaki Menang Kes Mahkamah Lawan Kerajaan Dan SPA Gara-Gara Komen Di Facebook
Sumber: Yusfarizal Yussoff
Trending now



