
Anak Tempatan Hasilkan Permainan Realiti Maya Inspirasi Kisah Wira Lt. Adnan
Jika ditanya tentang pahlawan tanah air, antara salah satu nama yang disebut ialah daripada Rejimen Askar Melayu iaitu Leftenan Adnan Saidi. Sejarah kehebatan Leftenan Adnan bermula ketika era peperangan Perang Dunia Kedua iaitu semasa penjajahan Jepun di beberapa buah negara termasuk Tanah Melayu dan Singapura.
Kisah keberanian beliau bertempur bukan sahaja diterbitkan dalam buku dan layar perak, malah turut diinspirasikan dalam permainan video. Kisah epik dan keperwiraan ketika pertempuran di Bukit Chandu – lokasi yang merupakan sempadan pertahanan terakhir Singapura ini dibangunkan menerusi permainan video oleh anak tempatan kita sendiri.
Permainan video ini diciptakan oleh para pelajar Multimedia University (MMU) yang berjudul ‘Chandu: The Malay Regiment’. Ia dibangunkan khas sebagai permainan video realiti maya yang mana pemain perlu bermain menggunakan headset VR controller khas.

Bagaimanapun, permainan video ini masih lagi dalam peringkat pembangunan dan sedang dalam proses untuk dimasukkan ke dalam platform Steam. Permainan video ini menjadi perhatian ramai apabila dimuat naik di laman Facebook Cyberjaya Community dan pastinya ramai peminat teruja untuk mencuba bermain permainan video ini apabila sudah dilancarkan.
Boleh saksikan video gameplay di bawah ini untuk melihat disebalik tabir proses membangunkan permainan video realiti maya ini.
Diharapkan pembangunan permainan ini berjalan lancar serta dapat digilap sebaik mungkin memandangkan ia mendapat sokongan ramai. Jika ia berhasil, inilah permainan video pertama yang membawa kisah pertempuran wira Melayu mempertahankan tanah air tercinta.
Sumber: Cyberjaya Community