
Anak Kelantan Lebih Gemar Berhijrah Ke Negeri Lain Bukan Disebabkan Tiada Peluang Pekerjaan
Sikap orang Kelantan yang lebih suka merantau menyebabkan mereka memilih untuk tidak mahu bekerja di negeri tempat kelahiran mereka sendiri.
Meskipun terlalu banyak peluang kerja yang mencukupi disediakan, ramai lebih suka untuk memilih bekerja di ibu kota.
Penghijrahan anak muda Kelantan ke negeri yang lain sebenarnya adalah disebabkan oleh sikap dan tradisi suka merantau dan bukannya kerana tiada pekerjaan di negeri tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, penghijrahan berlaku bukan sahaja di negeri Kelantan bahkan di seluruh dunia, dan keadaan itu tidak menggambarkan kegagalan kerajaan negeri dalam menyediakan peluang kerja.
Beliau berkata demikian di majlis makan malam Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu.
“Peluang kerja banyak tapi anak Kelantan lebih suka berada di luar (Kelantan), mungkin rasa tak glamor, ada juga yang memilih kerja,” katanya kepada pemberita.
“Sifat orang Kelantan terutama anak muda memang suka merantau sama ada mencari kerja atau apa sahaja aktiviti, itu tak boleh dinafikan.
“Keluar dari negeri untuk bekerja bukan berlaku di Kelantan sahaja tapi seluruh dunia dan beberapa bulan lepas, satu kenyataan dari kajian yang dibuat, 500,000 rakyat Malaysia kerja di luar negara jadi nak kait macam mana tu?,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan yang lain, Datuk Mohd Amar berkata Kelantan masih kekal dengan dasar tidak membenarkan pembukaan pawagam.
Namun, ia mungkin berubah di masa hadapan bergantung kepada perubahan semasa atau keperluan yang sebelum ini menurutnya telah pun memadai dengan adanya hiburan di Netflix dan Astro Best.
Sebelum ini juga, dilaporkan oleh Harian Metro, Datuk Mohd Amar telah mengulas mengenai markah Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang menunjukkan rakyat Kelantan lebih bahagia berbanding rakyat Selangor.
“Kita dapat skor 7.0 berbanding Selangor mendapat markah 5.0 iaitu jauh berbeza memandangkan negeri itu kaya, hasil bumi banyak, namun rakyatnya tidak bahagia,” jelas Timbalan Menteri Besar Kelantan tersebut.
BACA: Sejarah Kelantan Sebagai Pusat Pelacuran Terbesar Di Tanah Melayu
Sumber: Harian Metro