Adik

Amat Menyentuh Perasaan, Tak Sangka Jadi Viral – Tindakan Adik Ini Dipuji Warganet

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pendakwah bebas wanita yang cukup dikenali di Malaysia, Ustazah Asma’ Harun telah membuat hantaran di Facebooknya yang mengulas mengenai satu kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah surau yang terletak di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang kanak-kanak sekolah yang difahamkan dalam keadaan kurang sihat secara tidak sengaja telah mencemarkan karpet surau tersebut.

Namun, tindakannya yang mengutus surat untuk memohon maaf akhirnya tidak disangka-sangka telah tersebar dan menjadi viral kerana keikhlasannya itu berjaya menunjukkan adab dan pekerti yang baik bagi seorang Muslim walaupun pada usia muda.

Setakat ini, hantaran Ustazah Asma’ ini telah menerima lebih 6 ribu tanda suka, dikongsi lebih 4 ratus kali dan menerima beratus-ratus lagi komen positif dari warganet yang rata-ratanya turut terpesona dengan akhlak anak muda dan didikan ibu bapanya itu.

Semoga perkongsian dari Ustazah Asma’ ini dapat sama-sama menyedarkan kita tentang betapa pentingnya akhlak yang baik dan didikan agama dari ibu bapa.

Adik

Allahu Akbar, sejak kecil lagi dah dididik dengan akhlak indah sebegini. Semoga tumbuh menjadi anak yang soleh serta semoga kita semua direzekikan kebaikan yang sama, dijadikan akhlak kita sebagai tauladan buat keluarga dan masyarakat. 🤲

Seorang kanak-kanak masukkan surat yang dia tulis ke dalam tabung masjid bersama RM100 sebagai permohonan maaf dan ganti rugi sebab termuntah di atas karpet surau. Kandungan surat itu bertulis:

“Assalamualaikum Pak cik, saya menulis surat ini untuk memohon maaf atas kesilapan saya, pada 27/1/2023. Saya secara tidak sengaja termuntah di surau. Saya mahu membersihkannya tetapi saya perlu ke sekolah dengan kereta ayah saya menghalang kereta orang lain. Masa itu saya tidak sihat kerana saya keracunan makanan. Saya berharap pihak surau dapat memaafkan saya. Ini adalah nombor telefon ayah saya jika mempunyai sebarang masalah. Ayah saya sediakan duit ini dengan niat untuk kurangkan beban pihak surau untuk membersihkan najis itu.”

SubhanAllah, daripada surat yang dituliskan jelas ia merupakan didikan Ibu Bapanya yang sangat tekankan tentang adab. Dari sudut yang lain, adik ini solat berjemaah di surau dan tunjukkan kepada kita satu sikap yang sangat matang, bahkan ramai orang dewasa sendiri tak mampu untuk buat begini, iaitu mengaku kesilapan sendiri. 😊😊

Kadang perkataan maaf itu terlalu berat untuk keluar dari mulut kita kerana ego yang lebih besar berbanding kejujuran, apatah lagi pada kesalahan yang tidak diketahui orang. Sekalipun kita tak cukup kuat untuk membuat permohonan maaf secara berdepan dengan orang yang kita telah lakukan kesilapan, namun cara lain adalah melalui surat yang ditulis.

Kotoran muntah di karpet boleh dibersihkan dengan air cucian, kotoran dosa di hati boleh dibersihkan dengan pelbagai amal soleh dan istighfar. Firman Allah SWT:

اِنَّ الۡحَسَنٰتِ يُذۡهِبۡنَ السَّيِّاٰتِ ذٰ لِكَ ذِكۡرٰى لِلذّٰكِرِيۡنَ
Maksudnya: “…Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk (dosa). Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”
(Surah Hud: 114)

Mudah-mudahan kita semua dapat mencontohi adinda ini dan Ibu Bapanya dalam menampilkan akhlak yang baik sebagai perhiasan diri. Tindakannya mungkin dianggap kecil tetapi kesannya sangat besar kepada kita semua. 🌹

Kredit gambar: Surau Putra Al-Amin, Putrajaya.

Asma’ binti Harun
#UAHSahabatDuniaAkhirat

BACA: Ibu Resah Diganggu Budak Sekolah Minta Restu Nak Jadikan Anaknya Sebagai ‘Boyfriend’

Sumber: Ustazah Asma’ Harun