Perampas Penyondol

Amaran Buat Perampas Suami/Isteri Atau ‘Penyondol’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kewujudan golongan penyondol yang sanggup menghancurkan rumah tangga orang lain dilihat seperti sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia pada hari ini.

Kes yang melibatkan orang ketiga yang menjadi perampas suami atau isteri orang ini juga sering dilaporkan di dalam akhbar dan kini seolah-olah telah menjadi tema wajib dalam drama TV Melayu.

Masalah sosial yang serius ini disentuh oleh pakar motivasi terkemuka, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah atau lebih popular dengan gelaran Tok Abah yang telah membuat hantaran berikut di Facebooknya untuk dijadikan sebagai pedoman dan pesanan untuk keharmonian bersama serta peringatan kepada para penyondol di luar sana.

Perampas Penyondol

Tolong hormati orang yang dah berpunya.

Kerap sangat Tok Abah dapat kes mengadu hal yang sama.

Zaman sekarang ni memang cukup luar biasa.

Penyondol sudah tak kisah sama ada suami atau isteri orang.

Mana yang nampak cantik dan menarik, itu yang direbutnya seolah-olah orang tu tak berpunya.

Merosakkan hubungan dalam rumahtangga, hukumnya haram dan berdosa. Apatah lagi mengganggu keharmonian pasangan suami isteri.

Mendekati atas nama ‘persahabatan’ ini semuanya tak boleh percaya bulat-bulat.

Lelaki dan wanita susah nak berkawan rapat.

Rapat punya rapat sekali terikat susah nak lepas.

Kena hati-hati bab ini.

Dalam undang-undang, ia adalah sebuah jenayah ye, para penyondol sekalian.

Di sini Tok Abah sisipkan buat rujukan bersama:

ENAKMEN 11 TAHUN 2013

ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 2013

BAHAGIAN V – KESALAHAN PELBAGAI

Seksyen 43. Mengganggu rumah tangga orang lain

Mana-mana orang yang mengganggu rumah tangga orang lain dengan apa-apa cara dan mempengaruhinya supaya mengabaikan tanggungjawab rumah tangga sedia ada melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada isteri atau suaminya.

Lihat ya orang ketiga,

Bukan setakat didenda malahan boleh dipenjara ye. Jadi, jangan pandang ringan soal ini. Undang-undang dah melarang, apatah lagi ajaran Islam kita juga melarang keras akan hal ini.

Para penyondol lebih layak dikategorikan sebagai penjenayah.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Basmi orang ketiga.

BACA: Malaysia Lubuk ‘Sugar Daddy’, Dilapor Sebagai Negara Ketiga Tertinggi Di Asia

Sumber: Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah